Malaysia Dateline

Bersatu hanya bawah telunjuk kutil Umno-kleptokrat

Selepas pengumuman keputusan Umno yang mahu meletakkan syarat keatas kerjasama dengan PN, jelas bahawa PPBM melalui Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY), lemah dan wujud hanya atas belas kasihan Umno.

PPBM akan dijadikan kuda tunggangan kleptokrat dan terpaksa menuruti kehendak Umno untuk terus kekal berkuasa. Keengganan TSMY akan berakhir dengan kehilangan sokongan.

Betapa kasihan dan hinanya kewujudan parti Melayu yang satu ini. Ada kemungkinan langkah Dato Seri Zahid Hamidi hanya bertujuan menggertak TSMY supaya menuruti kehendaknya. Namun Zahid bersedia meneruskan ancaman beliau dengan bekerjasama dengan PKR jika keadaan memaksa.

Umno dan DAP bersaudara?

Ada yang berpendapat, jika benar UMNO (atau sebahagian dari mereka – hanya perlu dua-3 MP untuk PN tumbang) meneruskan hasrat tidak lagi menyokong PN, DAP & AMANAH berkemungkinan tidak akan menerima sebarang tawaran menjadi sebahagian kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

Umno seterusnya masih dapat menjaja mereka tidak bekerjasama dengan DAP dan ini akan menenangkan perasaan ahli-ahli mereka.

Berkenaan bekerjasama dengan “peliwat”, Umno kini pun tidak ada masalah bersama dengan Datuk Seri Azmin Ali yang secara asasnya merupakan Timbalan Perdana Menteri, sedangkan beliau sehingga hari ini masih dianggap ‘semburit’ oleh sebilangan besar pemimpin dan akar umbi Umno.

Pilihan lain adalah untuk Umno menyokong DSAI tanpa perlu dimasukkan ke dalam kabinet. Ini akan melemahkan struktur dan menterhadkan kuasa yang ada pada PPBM yang sebelum ini digunakan ke atas Umno untuk melemahkan mereka.

PPBM tanpa kuasa

PPBM sebagai parti yang terkenal dengan pengkhianatannya akan kehilangan leveraj yang mereka nikmati. Tanpa leveraj-leveraj ini, Umno tidak perlu menuruti kehendak mereka serta boleh mengolah naratif baharu dimana Umno-lah ‘Abang Besar’ sebenar.

TSMY akan terpaksa menerima “norma baharu” tersebut jika mahu partinya hidup dan Pas yang selama ini bermain dua hingga tiga kolam akan kembali semula menjadi pengikut yang baik.

Akibat langsung, perbincangan tentang agihan kerusi, pilihan PM dan lain-lain akan menjadi lebih mudah dan cenderung berpihak kepada Umno. Umno tidak akan rugi apa-apa, mereka mempunyai sokongan asas dari pengundi setia yang kuat yang selama ini pun diambil kesempatan oleh PPBM.

Hal yang sama bagi PKR yang mahu pengaruh Tun Mahathir dihapuskan. Apabila tiba PRU15 kelak, Umno dan PKR boleh ikut haluan masing-masing kembali dengan blok yang kini dikuasai kedua-dua parti tersebut secara berasingan.

Langkah mengkonsolidasi kuasa dua parti, yang secara tradisinya adalah lawan, dapat direalisasikan.

Falasi ‘Melayu bersatu’

Apa-apa retorik “Melayu Harus Bersatu” adalah falasi, satu idea utopia yang digunakan untuk meraih sokongan orang Melayu yg sebelumnya ditakutkan kononnya org Cina secara pukal akan menguasai negara lantas mengancam survival mereka sebagai tuan tanah.

Muafakat Nasional (MN) yang digagaskan UMNO/PAS adalah ‘produk’ keluaran baru kedua-dua parti politik tersebut dalam usaha mereka memenangi pilihanraya dan mengembalikan keyakinan orang Melayu.

Hakikatnya, kerjasama ini amat longgar dan hanya sekuat kuasa atau wang yang boleh
diagihkan sesama mereka. Begitu jugalah halnya dalam PN mahupun GRS.
Dakwaan TSMY yang sebelum ini menggunakan alasan “DAP akan menghancurkan orang Melayu” untuk menghalalkan pengkhianatan parti beliau juga hanya fabrikasi.
Fabrikasi yang ampuh dalam menakutkan orang Melayu dan akan terus digunakan keatas bangsa tersebut selagi mereka membenarkan parti-parti politik memanipulasi mereka sedemikian rupa.

Wayang

Semua ini telah dijangka oleh YAB Tun Dr Mahathir lebih awal. Beliau menyebut tentang sokongan Umno yang bersyarat. Hari ini dakwaan tersebut dibuktikan sahih melalui kenyataan media Biro Politik MT UMNO yang dibacakan YB Datuk Ahmad Maslan.

Ia juga menunjukkan DSAI bergelut untuk mengumpul sokongan tapi pengikutnya sering menyalahkan Tun Dr Mahathir sebagai punca beliau gagal menjadi PM.

Tambahan lagi, ia membuktikan yang paling kuat berpolitik adalah TSMY melalui proksi beliau DS Hamzah Zainuddin.

Walau pun TSMY sering menafikannya atau cuba mencerminkan dirinya sebagai PM yang “bekerja” melalui kaedah ‘public relations’ serta kawalan media yang ekstensif, beliau merupakan punca segala kekalutan politik kini dan tidak sewajarnya menjauhkan diri sebaliknya berhadapan isu ini segera demi rakyat dan ahli-ahli parti beliau yang kian resah.

Walau apapun, ini semua kekal hanya spekulasi. Spekulasi yang akan ditentukan melalui kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sekali lagi kerajaan pimpinan ‘Abah’ akan diuji keabsahannya. Jika berjaya DSAI atau mana-mana calon PM lain, merasalah Abah ubatnya sendiri (a taste of his own medicine).

*NIK FATHURAHMAN NIK RASLI merupakan bekas Ketua Penerangan Armada Selangor dan mantan Ketua Penerangan Bahagian Shah Alam.