Malaysia Dateline

Bersatu jamin 135 bahagian melepasi piawaian parti, RoS untuk bersidang

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi jaminan semua 3,000 perwakilan membabitkan 135 bahagian pada Persidangan Agung Tahunan ke-2 yang bermula hari ini mengikuti peraturan parti dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, pemantauan teliti dilakukan oleh Setiausaha Agung parti, setakat hari ini, dijamin tidak ada isu berbangkit mengenai mana-mana perwakilan dan mana-mana bahagian yang hadir.

“Kita sangat teliti kerana dibawah pentadbiran ibu pejabat dan pemantauan setiausaha agung kita tidak ada isu ketidaksahan mesyuarat di mana-mana peringkat bahagian untuk menghantar perwakilan tahun ini atau sebarangi su membabitkan RoS,” ujarnya ketika ditemui selepas sidang media Majlis Pimpinan Tertinggi dalam Mesyuarat Agung Tahunan sempena perhimpunan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) petang ini.

Beliau mengulas mengenai berlakunya 8 Bahagian Bersatu di Perak tidak menghantar perwakilan tahun ini kerana belum menyelesaikan mesyuarat di peringkat bahagian atas pelbagai sebab membabitkan RoS dan keahlian.

Akhramsyah yang juga Ketua Biro Pendaftaran Keahlian dan Pengundi berkata, mana-mana bahagian yang bermasalah akan hadir sebagai pemerhati tidak timbul lagi isu dalaman membabitkan mana-mana bahagian dalam perhimpunan agung kali ini.

“Kita tingkatkan keselamatan dan setiap perwakilan akan mengangkat sumpah apabila mahu mendaftar masuk ke dewan perhimpunan, untuk kita pastikan kesahihan perwakilan sama ada mereka terbabit dengan masalah insolvensi dan sebagainya.

“Apatah lagi isu yang berbangkit di Perak itu. Kita begitu teliti dengan setiap perwakilan ini termasuk di peringkat bahagian, saya jamin perhimpunan kali ini tidak akan berbangkit isu-isu membabitkan bahagian yang menghadapi masalah,” ujarnya.

Hari ini dilaporkan,Setiausaha Agung parti, Marzuki Yahya dipetik berkata, 8 bahagian Bersatu di Perak tidak menghantar perwakilan ke perhimpunan agung parti kerana belum menyelesaikan mesyuarat di peringkat bahagian atas pelbagai sebab

Kelewatan itu timbul antaranya kesan krisis kepimpinan parti di Perak setahun yang lalu selepas Hamidah Osman, salah seorang pengasas Bersatu, keluar parti, jelas beliau.