Malaysia Dateline

Bersatu Johor marah, Umno tidak bincang lantik ketua kampung

Bersatu negeri Johor kesal dengan tindakan Barisan Nasional khasnya Umno Johor yang tidak berbincang dengan mereka dalam perlantikan ketua kampung di negeri itu.

“Kami agak kecewa dengan tindakan MB Johor yang tidak berbincang dengan kami dalam perlantikan ketua kampung.

“Sepatutnya mereka bincang dengan kami kerana kerajaan ini adalah kerajaan BN dan PN,” kata Datuk Dr Sahrudin Jamal, Setiausaha PN Johor.

Menurut Sahrudin, bekas Menteri Besar Johor kerajaan Pakatan Harapan Johor itu, pengerusi parti BN dan PN sepatutnya duduk bersama untuk membincang tentang perkara ini.

Ekoran itu, Bersatu yang mewakili PN Johor akan membuat bantahan mengenai perkara ini.

“Pengerusi PN Johor akan mengutuskan surat kepada Menteri Besar Johor mengenai perkara ini,” kata beliau kepada media hari ini.

Dakwaan Sahrudin ini sama dengan dakwaan anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi yang menyebut, punca Umno marah kepada Bersatu adalah tindakan kerajaan PN mengenepikan ketua kampung Umno dalam pentadbiran baru.

Puad berkata antara perkara yang menyebabkan Umno kecewa dengan Bersatu ialah apabila ketua kampung yang dilantik oleh PN tidak mahu memberikan kerjasama dengan pemimpin Umno di akar umbi.