Malaysia Dateline

Bersatu Johor terpinggir, Muhyiddin mungkin balik ke pangkuan Umno?

Orang Johor ini selalunya amat sabar dan tidak buat heboh. Mereka selalu kata: “Kitĕ adĕ carĕ kitĕ sendiri.”

Dalam kalangan ahli politik, kalau pun ada yang celupar hanya beberapa kerat sahaja. Orang politik Johor anggap diri mereka “gentlemen”.

Mereka akur kepada ketua dan pemerintah sehingga sanggup dibuli, dipersenda, dipermain malah dianiaya.

Jadi, apabila mereka bangkit dan membuat perubahan seperti menendang keluar Umno dari negeri Johor pada PRU 2018, mesti ada sesuatu yang amat besar menyebabkan mereka bertindak sedemikian.

Mereka umumnya terpelajar dan nampak penipuan yang dilakukan oleh Najib serta konco-konconya. Apabila Muhyiddin Mohd Yassin dipecat daripada kerajaan dan Umno kerana mempersoalkan tindak-tanduk Najib, orang Johor bangkit.

Malangnya, setelah berjaya menumbangkan Umno/BN dan menjadi wira rakyat jelata, dalam masa tidak sampai dua tahun selera Muhyiddin berubah. Dia benci Pakatan Harapan dan kembali menerima Umno sebagai rakan seperjuangan.

Pada 23 Februari, di mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhyiddin yang terkenal dengan sifat lembut, santun dan berdiplomasi itu tiba-tiba menjadi keras dan tidak bertolak ansur mahu Bersatu keluar daripada PH dengan serta-merta.

Setelah hampir dua bulan menjadi Perdana Menteri, nyata bahawa dia tidak cukup bersedia dan tidak cukup kuat untuk melawan “perancangan” (scheming) oleh para panglima perang Umno, sama ada yang menganggotai Kabinet atau yang berada di luar.

Akibatnya, pejuang-pejuang asal Bersatu yang mengambil risiko bertarung melawan kleptokrasi Umno, semakin hari semakin dipinggirkan akibat tekanan rakan-rakan baru Muhyiddin dari Umno dan Pas.

Ironinya ialah yang paling teruk didera dan dianiaya adalah pejuang-pejuang asal Bersatu di Johor. Mula-mula sekali Bersatu hilang kerusi Menteri Besar kepada Umno dan kini jawatan-jawatan lain juga telah dirampas oleh atau sedang diancam.

Ingatan saya kembali kepada PRU 1982 apabila saya ikut Tun Musa Hitam, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, ke Desaru untuk memilih calon Umno Johor bagi pilihan raya tersebut. Di situlah saya mula mengenali dan menyedari “exclusivity” politik Johor dan cengkaman Umno ke atas negeri itu.

Sejak itu, saya sering mendengar ungkapan Umno dan istana tidak dapat dipisahkan atau Umno lahir di istana Johor.

Melihat ini semua, khususnya peminggiran Bersatu di Johor, saya tertanya-tanya adakah Tan Sri Muhyiddin sedang melakukan perjalanan balik ke pangkuan Umno?

Kalau kita percaya naratif para panglima perang Umno, Perikatan Nasional adalah sementara sahaja. Jangka usianya hanya tiga tahun. Yang kekal adalah Muafakat Nasional antara Umno dan Pas.