Malaysia Dateline

Bersatu kekal kerana manipulasi kuasa Hamzah Zainudin, kata MT Umno

Ahli Majlis Tertinggi Umno menyifatkan, parti Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih terus hidup dalam politik kerana manipulasi kuasa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dr Puad Zarkashi dalam tulisannya berkata, “Bersatu-Muhyiddin masih hidup kerana manipulasi kuasa oleh budaknya Hamzah Zainuddin.”

Puad berkata demikian ketika mengulas tulisan bekas penasihat media perdana menteri, Datuk A Kadir Jasin kononnya tindakan Datuk Seri Anwar sekarang telah memecahbelahkan Umno.

Hamzah adalah bekas ahli parlimen Umno yang menyertai Bersatu. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu selepas parti itu memecat Tun Dr Mahathir dan penyokongnya.

Bagi bekas Ketua Pengarah JASA itu, Umno tidak berpecah dengan tindakan Anwar itu.

“Hakikat yang Kadir Jasin kena akui ialah tindakan Anwar esok menjadikan Tun M tidak relevan dan terpinggir.

“Buatlah apa pun. Umno tetap sama kerana Umno adalah parti akar umbi.

“Umno bukan bersandar semata mata pada kuasa.

“Sebab itu bila hilang kuasa, Umno bangkit sedikit demi sedikit. Kini Umno kembali berkuasa di Johor dan Melaka. Termasuk berkongsi kuasa di Sabah, Kedah dan Perak,” kata Puad.

Tetapi, katanya, Bersatu-Mahathir berkecai bila tidak ada kuasa.

“Umno sudah biasa dengan game plan untuk menjahanamkannya. Sama ada Tun M, Muhyiddin-Hamzah atau Anwar, Umno bukan kecil anak untuk ditalqinkan.

“Silap silap game Anwar esok makan diri,” kata beliau.