Bersatu Kelantan gesa tangguh pindah peniaga hingga keputusan mahkamah dibuat

Bersatu Kelantan gesa tangguh pindah peniaga hingga keputusan mahkamah dibuat

Pihak berkuasa Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) didesak supaya menangguhkan perpindahan lebih 500 peniaga pasar besar Pasir Puteh di lokasi baharu di Pasar Siti Hajar.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, ini memandangkan rayuan mereka di mahkamah rayuan di Putrajaya belum lagi membuat penghakiman mengenainya.

Beliau berkata MDPP perlu menghormati mahkamah sebelum mengeluarkan notis pindah terhadap peniaga di Pasar Pasir puteh.

“Saya sangat bersimpati dengan nasib yang dialami mereka kerana sebahagian besar mereka peniaga kecil yang hanya berniaga cukup makan.” katanya ketika melakukan lawatan ke pasar itu hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Peniaga Dalam Pasar Pasir Puteh Kamarzaman Che Ngah dan Setiausahanya Ghazali Mamat.

Datuk Kamaruddin Md Nor  (dua dari kanan) diringi  Kamarzaman Che Ngah (kiri sekali) dan Setiausahanya Ghazali Mamat (tiga dari kanan) ketika mengadakan lawatan di tapak pasar Pasir Puteh.

MDPP sebelum ini telah mengeluarkan notis pindah bermula 20 Oktober sehingga 25 Oktober lalu, bagaimanapun mereka enggan berpindah sebelum menerima keputusan mahkamah.

Dalam pada itu bekalan elektrik dan air telah dipotong menyebabkan mereka terpaksa berniaga dalam keadaan suasana panas dan gelap.

Mengenai janji oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang berjanji kerajaan persekutuan akan membina pasar baharu sekiranya Barisan Nasional diberi mandat memerintah Kelantan pada pilihanraya umum ke-14, Kamaruddi berkata, Asyraf tidak perlu berjanji apa-apa kerana BN sudah pun mempunyai kuasa.

“Tak perlu berjanji apa-apa buat sahaja lah kerana mereka sudah pun berkuasa,” ujarnya.

katanya lagi, pembangkang yang sepatutnya membuat janji kerana pembangkang tidak mempunyai kuasa.

 

CATEGORIES
TAGS