Bersatu Kelantan tumpu kerusi Parlimen, calon senang di hati rakyat

Bersatu Kelantan tumpu kerusi Parlimen, calon senang di hati rakyat

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan memberi fokus untuk meletakkan calonnya di kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14

Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor dipetik  berkata, pemilihan berkenaan memberi keutamaan kepada calon yang disenangi rakyat.

“Calon yang dipilih biarlah boleh diterima rakyat dan kita tawar calon popular yang disenangi rakyat, malah calon berkenaan juga perlulah tidak ada rekod hitam.

“Bersatu menilai calon berkenaan mestilah memiliki kewibawaan, sensitif untuk selesaikan masalah rakyat dan memiliki integriti tinggi,” katanya kepada media selepas mesyuarat kali pertama di Kubang Kerian, semalam seperti dilapor Sinarharian.

Beliau berkata, parti berkenaan mahu bertanding dalam PRU14 dengan menetapkan keutamaan bertanding di parlimen.

“Sudah pasti kita (Bersatu) bertanding, tetapi di mana, tempat mana, masih dalam kajian dan dapati selepas berunding dengan anggota parti komponen Amanah dan PKR.

“Kita bertanding bukan berdasarkan bilangan jumlah kerusi yang akan bertanding, sebaliknya bilangan kerusi yang akan menang. Semua ini penting kerana kita akan bertanding dalam kawasan parlimen yang diyakini berpotensi menang,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan Bersatu.

Pada mesyuarat berkenaan, beliau mengumumkan mengenai pelancaran siri ceramah seluruh Malaysia iaitu jelajah Selamat Malaysia, Selamat Rakyat (Semarak) yang mana di Kelantan, ia akan diadakan pada malam 14 April ini bertempat di Cherang Ruku, Semerak, Pasir Puteh.

“Program jelajah ini dilakukan di seluruh negara oleh pimpinan tertinggi parti; Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Pada malam 14 April nanti, program Semarak ini, Presiden akan turun bagi memperkenalkan barisan pemimpin kepada rakyat dan pengundi di negeri ini, malah pada hari tersebut beliau juga akan merasmikan pejabat Bersatu negeri dan Ketereh,” katanya.

Mengulas mengenai keahlian terkini, pihaknya belum dapat perkiraan yang tepat mengenai jumlah pendaftaran ahli, bagaimanapun menganggarkan sudah ada sekitar 40,000 ahli.

COMMENTS

Wordpress (0)