Malaysia Dateline

Bersatu kena hormati kekuatan Umno-Pas, kata Mat Taib

Bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berpendapat realitinya gabungan Umno-Pas paling dominan dan paling kuat.

Penasihat Umno Selangor yang juga dikenali sebagai Mat Taib tersebut berkata, Bersatu perlu menghormati kelebihan dimiliki kedua-dua parti yang berpayung di bawah Muafakat Nasional (MN) itu.

“Jadi, kalau dua ini (Umno-Pas) solid, maka Bersatu harus hormati kekuatan ini.

“Kalau mereka (Bersatu) tahu untuk menghormati kekuatan dua gabungan itu, maka akan wujudlah satu hala tuju politik yang lebih kuat,” katanya dipetik wawancara Mingguan Malaysia hari ini.

Dalam masa sama, bekas Menteri Besar Selangor itu menyifatkan tiada yang mustahil pada masa ini termasuk sekiranya Umno melakukan penjajaran dengan DAP dan PKR.

Beliau yang turut digelar sebagai Mat Tyson itu berpendapat Umno nanti boleh melakukan kerjasama politik dengan mana-mana pihak sekalipun.

“Cakap-cakap politik sahaja, kononnya tak mahu DAP, tak mahu itu tak mahu ini. Tetapi kita dengar juga, ada orang A bincang dengan B, dia kata kita tak mahu ahli Parlimen yang bermasalah, tapi yang lain-lain itu boleh.

“Ini semua nak mencari jalan untuk bekerjasama. Inilah politik 2021. Kita bukan lagi di era yang lama, jadi Umno ini satu hari besok, dia boleh berkawan dengan sesiapa,” ujarnya.

Untuk rekod, Mat Taib pernah meninggalkan Umno, menyertai Pas, kemudian PKR dan kembali menyokong Umno.

LANJUT MENYUSUL