Bersatu kenal pasti kerusi, maklum kepada Pakatan Harapan

Bersatu kenal pasti kerusi, maklum kepada Pakatan Harapan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan memaklumkannya kepada Pakatan Haapan (PH) kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami ada berunding, antara lain, mengenai agihan kerusi di mesyuarat PH yang diadakan di Parlimen semalam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata, Bersatu berharap dapat menarik sokongan pengundi Melayu dan Bumiputera melalui kerusi yang ditandingi dan berusaha menyelesaikan masalah pertindihan kerusi dengan parti lain.

“Matlamat kami elak pertandingan pelbagai penjuru. Kita perlu bertolak ansur.

“Mana-mana pihak yang boleh menang, perlu diberikan peluang untuk bertanding. Ini akan diperhalusi oleh jawatankuasa teknikal PH,” katanya yang juga ahli Parlimen Pagoh.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Bersatu, juga mengumumkan pelantikan pengerusi dan timbalannya untuk kepimpinan parti itu di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Selangor, Melaka, Johor dan Pahang.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut bersama dalam sidang media Bersatu di Petaling Jaya hari ini

Sementara itu, menjawab soalan pemberita mengenai bakal calon perdana menteri dan timbalannya jika PH memenangi PRU14, Muhyiddin berkata lebih cepat isu kepimpinan Pakatan Harapan boleh diselesaikan, ia adalah lebih baik bagi gabungan pembangkang itu.

“Pemimpin Pakatan Harapan mengakui persepsi bahawa kita perlu lebih bersatu.

“Pakatan ini akan membolehkan kami membincangkan isu seperti kepimpinan dan pembahagian kerusi secara bebas dan ikhlas.

“Lebih cepat kita selesaikan ini, maka ia akan menjadi lebih baik untuk Pakatan Harapan,” katanya.

TAGS