Malaysia Dateline

Bersatu Labuan lulus usul jawatan pengerusi, presiden, timbalan tiada pertandingan

Mesyuarat serentak pertama cawangan, pemuda (Armada) dan wanita (Srikandi) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan hari ini sebulat suara bersetuju meluluskan usul jawatan pengerusi, presiden dan timbalan presiden Bersatu tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Ketua badan pimpinan Bersatu Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman mengumumkan keputusan itu selepas kesemua ketua cawangan, ketua Armada dan Srikandi bersetuju dengan usul yang dicadangkannya, dan disokong oleh barisan pemimpin-pemimpin jawatankuasa bahagian itu, tanpa perlu dibahaskan selepas mesyuarat cawangan itu di Ballroom Palm Beach Resort and Spa, Labuan pada Ahad.

Bersatu Labuan kini mempunyai lebih 3,000 ahli berdaftar selepas ia melebarkan sayapnya ke pusat kewangan antarabangsa disini tahun lepas dan membuka cawangan di semua 16 pusat daerah mengundi (PDM).

Bersatu Labuan tidak perlu mengadakan pemilihan bahagian apabila kesemua yang menawarkan diri menang tanpa bertanding setelah proses penyerahan borang pencalonan ditutup pada petang 26 Januari lepas.

Pencalonan diadakan di pejabat Bersatu Labuan dan diterima dua ahli jawatankuasa pemilihan parti pusat Prof. Mohd Hanafiah Harun dan Roslan Abu.

Ketua Bahagian Bersatu Labuan kini disandang oleh Suhaili, manakala timbalannya ialah Abdullah Omar Bledram, naib ketua bahagian ialah Hassan Jinin, manakala Juliana Ibrahim ketua srikandi, dan ketua Armada Fadilah Abdul Khalid.РBERNAMA