Malaysia Dateline

Bersatu lapor polis, dakwa rencana Malaysia Dateline tidak tepat

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan membuat laporan polis berhubung artikel Malaysia Dateline yang mendakwa peguam yang menyaman Yang di-Pertuan Agong sebagai “orang” Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dalam laman itu dikeluarkan satu kenyataan bertulis yang menuduh atau memberi maksud seolah-olah Muhyiddin selaku presiden Bersatu dan perdana menteri yang mengarahkan peguam itu untuk menyaman Yang di-Pertuan Agong.

“Bagi pihak Bersatu, kami merasakan ini satu fitnah yang besar kepada perdana menteri yang tak patut dilakukan oleh mana-mana pihak, mana-mana laman berita terutamanya.

“Fokus kita ialah pada satu perenggan dalam laporan tersebut yang mana perenggan itu jelas merupakan satu fitnah kepada perdana menteri,” katanya tadi, lapor Malaysiakini.

Perenggan yang dimaksudkan berbunyi:

“Difahamkan bahawa Syed Iskandar (peguam berkenaan) ialah ‘orang’ Muhyiddin sendiri. Jadi, jika pihak beliau sendiri, tentulah tindakan peguam itu kelihatan seperti direstui, dan memang digalakkan/dilindungi”.

Katanya, tujuh laporan polis dibuat serentak di seluruh negara berkenaan hal sama, setelah jentera penerangan Bersatu digerakkan.

“Kita mulakan tindakan ini.

“Kita harap portal ini ambil tindakan sewajarnya terutmana sekali kalau boleh mohon maaf kepada perdana menteri dan menarik balik laporan tersebut,” katanya lagi.