Malaysia Dateline

‘Bersatu lebih selamat dalam PN atau PH?’

Masa berlalu begitu pantas, seumpama kilat, hari ini saya sudah janji nak tulis lagi, tulisan lepas bertarikh 15 Mei, iaitu hari lahir saya.

Sebulan berpuasa di bulan Ramadhan telah berlalu, dan sekarang kita pun sudah berada lebih seminggu di bulan Syawal, kita sibuk berpuasa enam sekarang.

Juga telah berlalu tarikh 18 Mei, tarikh persidangan Dewan Rakyat penggal ini, tarikh yang cukup digeruni dan ngeri oleh sesetengah pihak, tidak boleh tidur lena dibuatnya.

Persidangan yang hanya merupakan hari Perasmian Dewan oleh Baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Tidak ada perbahasan, tidak ada soal jawab soalan-soalan lisan, luar dari kebiasaan, norma baru, agaknya takutkan Covid-19.

Dewan Rakyat akan disambung nanti bulan Julai, bulan depan, insha Allah, semua ahli Parlimen menunggu, penuh debaran! Siap, Jaga kau! (bahasa bangsa Johor).

Saya telah berkunjung hormat Tun Mahathir di ibu pejabat Bersatu pada jam 3 petang hari Jumaat 29 Mei lalu yang pada mulanya patut berjumpa di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP).

Memang tak sabar-sabar nak jumpa Tun Mahathir, pengasas Bersatu dan negarawan. Tun selalu membebel dalam mesyuarat MPT berkenaan keahlian Bersatu.

Kasihan pada saudara Akram Shah yang kena jawab, berapa ramai ahli Bersatu sekarang? Saya sebagai SUA kecut perut dibuatnya.

Itulah dia Tun. Tegas! No play play! Macam-macam hal berkenaan keahlian Bersatu dibangkitkan! Panas!

Saya berjumpa Tun hari Jumaat lepas antara lain sebagai reaksi surat SUK kepada Tun, yang kandungannya kata, Tun dah gugur keahlian Bersatu secara automatik, disqualified himself.

Perlembagaan Bersatu ditafsirkan begitu, katanya oleh pakar undang-undang. Tun sudah duduk di barisan pembangkang di Dewan Rakyat dalam persidangan bulan lepas. Maka Tun sudah masuk pembangkang.

Saya tanya Tun, betulkah Tun sudah masuk parti pembangkang? Tidak sekali-kali katanya! Tun nafikan.

Saya ambil keputusan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) dan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) jadi PM. Beliau telah dapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat daripada kalangan ahli-ahli Parlimen.

Sebagai ‘budak’ TSMY pastinya saya amat gembira apabila beliau menjadi PM. Saya bertanya pada diri sendiri, adakah PN ini telah wujud sebagai badan sah? Lengkap dengan Perlembagaan dan pendaftaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Sepanjang ingatan saya, PH adalah badan sah didaftar dengan ROS dan ada sijil pendaftarannya. Pada saya, PN adalah sekadar nama badan persatuan tidak rasmi antara ahli-ahli Parlimen yang bersetuju TSMY sebagai PM.

PN bukan gabungan parti-parti, apatah lagi saya belum lihat, kaji dan bahas sedalam-dalamnya Perlembagaan PN yang telah dibawa ke Perhimpunan Agung Khas atau setidak-tidaknya ke MPT dan telah sama-sama kita putuskan di situ bahawa Bersatu telah bersetuju masuk PN?

Tun tak masuk atau setuju dengan perkara 18. Bolehkah ditafsir Tun masuk pembangkang? Sokong parti pembangkang.

Saya tidak mahu lihat Bersatu lemah kerana kita berpecah dan berbalah. Boleh pengsan apabila kita baca perbahasan kita dalam media sosial. Kita saling melondeh kain sendiri, ditular, sudah tiada segan silu lagi. Mana kita dapat budaya begini rupa?

Saya juga tidak mahu lihat Bersatu mati tidak berkubur, tidak berbatu nisan. Saya sayangkan Bersatu, sayang sangat-sangat.

Betapa sukarnya membina Bersatu, susah payah lawan BN, ke sana ke sini bersama Tun dan TSMY dan rakan-rakan versi 1.0.

Masa itu saya ADUN Jorak, ulang-alik antara ibu pejabat Bersatu menjalankan tugas-tugas SUA dan menjaga kawasan di Pagoh, tidur dalam kereta di RnR tu biasa.

Itu belum lagi kempen jelajah Bersatu dan PH. Allah saja yang tahu betapa nikmat dan sengsaranya ketika itu.

Terkenangkan Tun M dan Tun Siti Hasmah begitu komited berkempen, sana sini, utara selatan, timur barat. Ribuan yang hadir,.. الحمدالله … kita menang bentuk kerajaan!

Majoriti yang masuk jadi ahli Bersatu adalah kerana Tun bukan pasal nama saya! Shahruddin, tidak siapa yang kenal! ADUN saja, Exco pun tak, semasa dalam BN dulu, jasa pun tidak ada.

Jasa Tun, umpama sebesar dan seberat bumi ini. Tanpa Tun, Bersatu akan terkujur layu, matilah Bersatu.

Hari ini hari Isnin (semalam), tanggal 1 Jun tahun 2020, saya berjanji nak buat kenyataan, azam dan hala tuju saya dalam Bersatu dan kerajaan. Tidak ada niat lain saya.

Saya mahu lihat Bersatu kuat dan kukuh. Sayang saya pada Bersatu mengatasi sayang saya pada Tun dan TSMY. Barang dijauhkan sekali parti Bersatu dilihat sebagai melukut di tepi gantang dan ahli-ahli awal yang tulen dalam perjuangan pula dipingggirkan.

Andai kata saya perlu letak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kementerian Kerjaraya, saya akan letak jawatan, demi memperkukuhkan Bersatu supaya masa sepenuhnya dapat saya tumpukan pada Bersatu.
Sebagai SUA pertama saya kenal KB, Srikandi dan Armada. Mengajak dan memujuk ahli-ahli yang ramai di bawah sana supaya tidak berbalah yang hanya akan melemahkan Bersatu.

Ada yang dah merajuk, dah nak keluar Bersatu. Saya kata, ‘Janganlah bertindak begitu! Please… Bersatulah!

Andaikata saya perlu meninggalkan rakan-rakan PN dan kembali semula kepada PH dan di situ ada jaminan bahawa Bersatu akan kuat dan terus hidup, maka saya akan juga sedia lakukan!

Akhir kalam untuk kali ini, cuba saudara berikan jawapan yang seikhlas-ikhlasnya kepada saya. Saya sekarang adalah Ahli Parlimen Sri Gading.

Adakah PN atau PH yang akan memberikan laluan mudah tanpa bahas untuk menerima calon ahli Bersatu bertanding di Parlimen Sri Gading di PRU-15 nanti? PN atau PH?

Itu juga adalah jawapan kepada satu soalan paling pokok. Lebih selamatkah Bersatu dalam PN atau dalam PH? Saudara jawab!!!

*SHAHRUDDIN SALLEH adalah Ahli Parlimen Sri Gading dan Timbalan Menteri Kerja Raya.