Malaysia Dateline

Bersatu, libatkan diri bina Malaysia baharu, seru Patriot

Mohamed Arshad Raji

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) melihat terdapat pertelingkahan kecil dalam kalangan parti-parti pemerintah Pakatan Harapan (PH) setelah penamaan tiga menteri utama.

Patriot menyokong sepenuhnya keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, yang pantas dan tegas kerana ia adalah amat penting sekali. Waktu tidak dapat menunggu perbalahan antara parti berhubung siapa dapat apa dan banyak mana.

Patriot ingin mengingatkan para pemimpin PH bahawa kemenangan yang dicapai pada 10 Mei 2018 adalah kemenangan buat Malaysia.

Demikian kata Presiden Patriot BG Datuk Mohamed Arshad Raji (B) dalam kenyataan medianya hari ini.

“Sedar akan ungkapan Edmund Burke “Kejahatan akan unggul jika orang-orang baik tidak melakukan apa-apa”, puluhan ribu menawarkan diri sebagai sukarelawan, berwaspada terhadap penipuan semasa pengundian, kembali dari luar negara hanya untuk mengundi.

“Mereka mengatasi semua kekangan dan menghasilkan jumlah pengundi menakjubkan 82.32% walaupun pada hari bekerja, dan akhirnya membuktikan semua ramalan sebelumnya adalah salah. Sesungguhnya, demokrasi telah unggul.

“Kemenangan Malaysia ini menandakan satu permulaan baru. Suara majoriti sudah berbicara, dan mahu perubahan sebenar.

“Bangsa dan agama bukan lagi laluan untuk mencapai kemenangan semasa pemilihan, digunakan untuk menyemai rasa tidak percaya dan perpecahan dalam kalangan rakyat,” kata beliau.

Jelas Mohamed Arshad, lenyap sudah budaya politik untuk memperkayakan diri sendiri, di mana kuasa jawatan digunakan untuk berselingkuh, menyalahguna, dan merompak.

“Lenyap juga politik naungan, di mana ahli politik yang tidak layak diberi kedudukan penting dalam badan korporat dan GLC. Lenyap juga di mana kebanyakan, jika tidak semua, ketua jabatan utama dilantik oleh ketua eksekutif dan harus tunduk kepadanya,” tambahnya.

Kata beliau, jabatan-jabatan ini mesti bebas dan dilihat sebagai bebas, seperti badan perundangan dan kehakiman, yang berfungsi sebagai penyemak dan pengimbang (check and balance) terhadap para eksekutif.

Bagi parti-parti politik yang memerintah, budaya mementingkan diri sendiri, apakah yang ada untuk diriku, untuk partiku, untuk masyarakatku, untuk bangsaku, sudah berakhir, ujarnya.

“Banyak pertolongan yang diperlukan. Dapatkan mereka dari luar lingkungan politik, yang berkelayakan tinggi dan sedia berkhidmat bukan untuk wang ringgit ataupun glamor, tetapi minat tulen untuk membantu.

“Pilih mereka dengan teliti dan gunakan mereka di semua peringkat, jawatan, peranan yang diperlukan untuk membina negara.

“Marilah kita semua berfikir sebagai rakyat Malaysia, apa yang baik untuk negara kita secara keseluruhan,” katanya.

Beliau menyeru kepada semua supaya berfikirlah secara kolektif, inklusif dan holistik.

“Ringkasnya, kita perlu menerima dan menghormati satu sama lain, saling membantu, membuat setiap rakyat Malaysia merasa dihargai.

“Semangat patriotik akan bangkit semula dalam diri kita. Setiap putera dan puteri negara ini akan bangga memanggil Malaysia, rumah saya.

“Marilah kita semua bersatu, dalam perpaduan, bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin kerajaan kita yang baharu, mengambil bahagian untuk membina semula, dan menjadikan Malaysia hebat sekali lagi,” katanya.