Bersatu mampu beri impak besar pada politik Perak

Bersatu mampu beri impak besar pada politik Perak

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak yakin penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Pakatan Harapan (PH) menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti akan memberikan kesan dan impak besar terutamanya di Negeri Perak kelak.

Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kehadiran beberapa tokoh besar Bersatu ke Perak seperti Penasihat Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya Datuk Seri Mukhriz Mahathir sudah tentu memberikan kesan besar di sini.

“Amanah Perak melihat usaha menyekat dan cubaan menghalang kehadiran tokoh-tokoh Bersatu ini menandakan bahawa Umno-BN dan sekutunya begitu cemas dan bimbang kehadiran tokoh Bersatu ini ke Perak khasnya dalam tempoh yang terdekat ini,” ujarnya.

Nizar yakin kerisauan Umno dan BN terhadap kehadiran tokoh Bersatu yang pernah berjasa kepada negara ini akan mencipta gelombang penolakan rakyat terhadap BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bekas menteri besar Perak itu dipercayai mengulas pembatalan debat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Nazri Aziz yang dijadual berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar 25 Mac ini.

TAGS