Bersatu Melaka sokong tiga jawatan tertinggi tidak dicabar

Bersatu Melaka sokong tiga jawatan tertinggi tidak dicabar

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka sepakat memberi sokongan agar tiga jawatan tertinggi parti itu tidak dicabar pada pemilihan parti 20 Julai ini.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata akar umbi parti tersebut memberi kepercayaan penuh kepada puncuk pimpinan kerana mereka dilantik itu mempunyai pengalaman dalam politik negara.

“Saya yakin dan percaya bahawa seluruh ahli parti negeri meletakkan harapan penuh kepada Pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Bandar Hilir malam ini.

Mohd Redzuan yang juga Menteri Pembangunan Usahawan berkata Bersatu sebuah parti baharu ditubuhkan memerlukan sokongan tiga pemimpin besar itu agar parti tersebut terus mantap dan mendapat kepercayaan rakyat.

Beliau berkata apa pun yang bakal berlaku terserah kepada peringkat kepimpinan pusat untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak cadangan tersebut.

“Kita mengamalkan sistem demokrasi dan apa jua keputusan bergantung kepada suatra majoriti nanti,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau tidak menolak terdapat segelintir pemimpin parti peringkat negeri yang ingin bertanding bagi merebut jawatan peringkat negeri.

Katanya pemilihan parti ini adalah bagi menggubal pelembagaan parti agar ianya mantapkan parti pada masa akan datang.

“Kita semua pemimpin bahagian yang dilantik dan bukan dipilih berharap usul-usul disuarakan nanti termasuk soal pemilihan akan mendapat sokongan ahli,” katanya.

Mukhriz baru-baru ini berkata ada pimpinan bahagian mencadangkan tiga jawatan utama parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun ini.– BERNAMA