Bersatu Melaka yakin masalah diselesaikan melalui rundingan

Bersatu Melaka yakin masalah diselesaikan melalui rundingan

 Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka yakin bahawa setiap permasalahan yang timbul dalam parti itu dapat diselesaikan secara baik melalui kaedah rundingan, sekaligus memperkukuh kepimpinan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata inisiatif itu perlu diambil bagi menyelesaikan isu dihadapi oleh parti berkenaan selain mengelak konflik berlarutan yang seterusnya membawa kepada perpecahan dalaman parti.

“Semua parti ada masalah (masing-masing) namun yang penting adalah bagaimana kita mengatasinya dan saya yakin bahawa setiap isu berbangkit dapat diselesaikan dengan baik melalui kaedah perbincangan.

“Selain itu, kita juga perlu mengambil serius (sebarang pergeseran) dan isu berbangkit berikutan dalam konteks di Melaka, PH memperoleh majoriti mudah yang mana sedikit kesilapan boleh menjejaskan (kuasa pemerintahan),” katanya kepada pemberita pada lawatan ke kilang pembuatan produk solar sistem, lampu LED dan paparan skrin panel Quantum Electro Opto Systems di Batu Berendam, semalam.

Mohd Rafiq yang juga Anggota Majlis Pimpinan Bersatu itu berkata demikian semasa mengulas isu peletakan jawatan Setiausaha Bahagian Masjid Tanah Mejar (B) Abdullah Mahadi yang tular di aplikasi Whatsapp, pada Khamis lepas, yang difahamkan selepas beliau hilang kepercayaan terhadap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.