Malaysia Dateline

Bersatu nafi ada rundingan dengan Pas

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman hari ini berkata, pihaknya tidak mengetahui sama ada wujud rundingan antara Bersatu dan Pas.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika ditanya susulan seramai 18 ahli Parlimen Pas dan enam dari Umno mahu Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir kekal memerintah negara hingga akhir penggal.

“Kami tidak tahu-menahu jika wujud sebarang bentuk rundingan (antara Bersatu dan Pas), sama ada di luar pengetahuan rakan-rakan komponen Pakatan Harapan (PH) atau pun tidak.

“Siapakah pihak yang membuat spekulasi demikian? Yang saya tahu di peringkat majlis pimpinan tertinggi parti Bersatu, tidak ada apa-apa perbincangan berkenaan sebarang bentuk kerjasama dengan parti Pas,” katanya kepada Malaysia Dateline, hari ini.

Muhammad Faiz menjawab demikian ketika ditanya kemungkinan wujudnya rundingan antara Bersatu dan Pas tanpa pengetahuan rakan komponen PH yang lain.

Memetik laporan media tempatan pada semalam, seramai 18 ahli Parlimen Pas dan enam dari Umno mahu Perdana Menteri kekal memegang jawatan tersebut hingga tamat tempoh penggal.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Kota Bharu (Pas) Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan pendirian bahawa menyokong Pengerusi Bersatu itu.

“Saya nak menyatakan, kalau apa-apa berlaku, sebagai Ketua Whip Pas, 18 undi untuk Langkawi (Dr Mahathir),” katanya.

Enam ahli Parlimen Umno pula adalah, Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).