Bersatu, NGO hantar memorandum desak Isa letak jawatan

Oleh MALAYSIADATELINE

Dengan kehadiran lebih kurang 30 penyokong kedua pihak berkumpul di hadapan bangunan  Menara  Felda  jam 1 tengahari tadi  untuk menyerahkan memorandum bersama.

Bersatu diwakili Pengerusi Task Force Felda Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil dan Presiden Peneroka Junaidy Jamaluddin yang menyerahkan memorandum itu kepada Pengarah Urusan Bahagian Komunikasi FGV Ariff Ahmad Yeop di perkarangan Menara  Felda.

Memorandum bersama itu bertujuan mendesak Isa meletakkan jawatan serta merta tanpa perlu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika Isa gagal berbuat demikian, Bersatu dan Peneroka akan menyerahkan satu lagi memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk mendesak beliau memecat Isa.

“Kerugian FGV sebanyak  RM13.4bilion sejak 2012 itu sudah cukup untuk Tan Sri Isa mengundurkan diri kerana gagal menguruskan FGV dan Felda dengan baik,” ujar kenyataan bersama itu.

Sebelum ini Malaysia Dateline  melaporkan kenyataan Wan Mohd Shahrir yang dipetik berkata, Pengerusi FGV itu harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam kemelut membabitkan kerugian FGV dan anak syarikatnya Delima Oil Products Sdn Bhd bukannya mengambil keputusan mengarahkan empat pegawai kanan pengurusan bercuti.

Sebagai rekod pada 6 Jun empat pengurus kanannya termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad bercuti serta-merta bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan berhubung dakwaan salah laku urus niaga syarikat.

Selain Zakaria, tiga lagi individu terlibat ialah Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd. Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Abd Karim.

Pada keesokannya Zakaria tampil di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dengan berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV dan beliau memberi keterangan kepada suruhanjaya itu antaranya mengenai isu tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products.

Pada 8 Jun Datuk Seri Idris Jala dilantik oleh kerajaan untuk membantu FGV bagi mencari penyelesaian berhubung isu arahan bercuti kepada empat pengurusan kanannya.

Pada 9 Jun sepasukan 25 pegawai SPRM menyerbu bangunan Felda dan mengambil masa selama lapan jam menyelesaikan urusan pengambilan dokumen di pejabat Zakaria yang berada di tingkat 45 bangunan Menara Felda di Ampang.

SPRM juga akan memanggil beberapa saksi termasuk pengurusan tertinggi FGV bagi melengkapkan siasatan berkaitan kemelut agensi itu.