Malaysia Dateline

Bersatu-Pas tolak ‘penjajaran baharu’ selepas PRU15

Hasil pertemuan Presiden Bersatu dan Pas semalam, kedua-dua parti itu bertegas menolak sebarang bentuk ‘penjajaran baharu’ untuk menubuhkan kerajaan pasca-PRU15, terutama melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

Menerusi kenyataan bersama Setiausaha Agung Bersatu dan Pas, Hamzah Zainudin dan Takiyuddin Hassan, kedua-dua parti pengasas utama Perikatan Nasional (PN) itu akan terus mengukuhkan kerjasama dalam gagasan tersebut untuk ke gelanggang PRU-15.

“Bersatu dan Pas sentiasa komited untuk memperkukuhkan penyatuan ummah dan perpaduan seluruh masyarakat majmuk, bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mendukung konsep tersebut.

“Sekaligus menolak sebarang usaha untuk merungkaikan perpaduan yang telah sedia terjalin dan sebarang percubaan menggugat kerajaan PN yang dibina secara bersama,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 menyaksikan bantahan secara terbuka terhadap pendirian Pas yang merupakan komponen utama dalam gabungan PN pimpinan Bersatu.

Kemuncaknya apabila PAU 2020 meluluskan usul memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu pada PRU-15.

Kelmarin, Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman menegaskan sudah tiba masanya Pas menyatakan pendirian sama ada untuk bersama dengan Umno ataupun Bersatu pada PRU-15.

Ini kerana, tegas Ahli Parlimen Pasir Salak itu, Umno telah menyatakan pendirian untuk bersama Pas dalam PRU nanti tetapi sebaliknya akan tampil solo jika Pas memilih untuk bersama Bersatu.