Malaysia Dateline

Bersatu pecat pengerusi dan empat yang lain

Selepas 10 hari duduk di blok pembangkang, Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presidennya, Mukhriz Mahathir dipecat oleh partinya.

Turut dipecat Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta anggota Majlis Tertinggi Bersatu Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Menurut surat ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya, kelima-lima mereka dipecat daripada keahlian parti kerana duduk di blok pembangkang dalam sidang Parlimen, 18 Mei lalu.

Surat bertarikh hari ini tersebut juga memaklumkan pemecatan serta-merta terhadap mereka mengikut fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan Bersatu.

Peruntukan itu menyatakan status individu sebagai anggota akan diberhentikan serta-merta jika didapati menyatakan hasrat mereka untuk meninggalkan parti atau secara rasmi bergabung dengan parti politik lain.