Bersatu Perak sokong Muhyiddin, gesa Azrul Suhadi mohon maaf terbuka

Bersatu Perak sokong Muhyiddin, gesa Azrul Suhadi mohon maaf terbuka

 

Sebanyak 21 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Negeri Perak (Bersatu)  hari ini menetapkan pendirian menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden parti itu dan mendesak  Azrul Suhadi  Ahmad Mokhtar memohon maaf terbuka.

Pengerusi Bersatu  Negeri Perak Ahmad Faizal Azumu bersama 21 Ketua Bahagian dan 2 Timbalan Ketua Bahagian hari ini ingin menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Muhyiddin.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Azrul Suhadi yang mendakwa dirinya sebagai Ketua Pendaftar PPBM Perak.

“Untuk makluman, jawatan tersebut telah terbubar secara rasminya pada 31 Mac 2017. Beliau adalah Ketua Penaja Bahagian Ipoh Timor bersama Jemaat Yacob, Ketua Penaja Bahagian Teluk Intan telah menyatakan kononnya mereka mewakili seluruh bahagian PPBM Negeri Perak mendesak supaya Presiden PPBM Tan Sri Muhyidin Yassin meletakkan jawatan.

“Perkara ini adalah tidak benar sama sekali,” ujar Ahmad Faizal dalam kenyataan bersama hari ini.

Semalam Ketua Pendaftar PPBM Perak, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar berkata, desakan itu dibuat oleh sebahagian besar daripada 24 Bahagian PPBM di Perak setelah mendapati Muhyiddin bertanggungjawab di atas segala kepincangan yang berlaku dalam PPBM di peringkat kebangsaan dan Perak.


Menurutnya, ini kerana Muhyiddin tidak pernah ikhlas kepada Pengerusi parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad, penyokong dan pendokong parti.


Katanya, Presiden PPBM itu sepanjang masa menangguk di air yang keruh dengan mengambil kesempatan di atas populariti Tun Mahathir bagi mencatur parti.


Ahmad Faizal Azumu (tiga dari kiri) ketika adakan sidang media bersama ketua bahagian yang turut dihadiri Armada dan Srikandi di negeri Perak yang menyokong  Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Justeru menurut Ahmad Faizal lagi, kelompok itu tidak mewakili seluruh kepimpinan PPBM negeri itu dan hanya merupakan segelintir individu yang kecewa, sambil sanggup menjadi alat kepada individu berkepentingan.

“Mereka telah terpesong daripada perjuangan parti yang sebenar dan hanya berniat untuk memecahbelahkan parti.

“Malang sungguh di sebalik matlamat perjuangan PPBM untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional dan memperjuangkan hak rakyat, timbul pula segelintir individu di dalam PPBM yang keutamaannya adalah untuk memperjuangkan agenda peribadi dan memusnahkan parti.

“Mereka inilah sebenarnya kumpulan pengkhianat parti yang merupakan duri dalam daging dan musuh dalam selimut yang mempunyai niat buruk terhadap parti,” ujarnya.

Justeru beliau yakin kumpulan itu dakwanya lagi, telah terpesona dengan janji manis seseorang.

“Setelah gagal menunaikan janji, pucuk pimpinan telah ditohmah bagi menyelamatkan diri. Individu yang bersikap seumpama pepatah ‘baling batu, sembunyi tangan’ ini, mendendangkan lagu perjuangan.

“Hakikatnya, beliau adalah pemakan dedak, mengharapkan habuan dengan tindakan adu domba.

“Inilah akibatnya apabila perasaan tamak haloba telah menguasai diri. Mereka sanggup mengenepikan kepentingan parti hanya untuk memastikan mereka dapat berkuasa dan membolot habuan. Mereka juga tanpa segan silu menggunakan nama Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi PPBM untuk menghalalkan tindakan jahat mereka sedangkan merekalah yang sedang meruntuhkan perjuangan ikhlas dan murni Tun Dr Mahathir dari dalam parti.

“Kepentingan siapakah yang diperjuangkan oleh kumpulan ini selama ini? Kepentingan parti atau kepentingan peribadi?,” ujarnya.

Pemohonan maaf terbuka

Azrul Suhaidi Ahmad Mokhtar (tiga dari kiri) ketika mengadakan sidang medianya semalam yang mendesak Muhyiddin letak jawatan.

Justeru Ahmad Faizal mendesak supaya mereka membuat permohonan maaf secara terbuka kepada  Muhyiddin.

“Kami juga mendesak kumpulan ini supaya berundur dan melepaskan jawatan mereka, sesuai dengan kelantangan mereka melafazkan kata-kata desakan dan ancaman untuk keluar parti kerana nyata sekali mereka inilah pengkhianat parti dan telah lari dari perjuangan parti yang sebenar.

“Sekiranya mereka gagal membuat pernyataan maaf, tindakan mengikut Perlembagaan parti diambil ke atas mereka demi menjaga keharmonian dan perpaduan parti

“Saya memohon jasa baik Datuk Hamidah Osman (Naib Presiden) membawa perkara ini ke Majlis Presiden untuk tindakan lanjut.Saya percaya dengan pengaruh dan pengalaman politik, beliau akan mampu menyelesaikan isu ini,” ujarnya.

Justeru beliau dan barisan kepimpinan negeri menyeru kepada pemimpin dan akar umbi parti untuk memperkukuhkan saf dan memberi fokus kepada program dan gerakerja parti yang telah disusun untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-14.

“Musuh kita yang utama ialah Najib Razak dan kroni-kroninya yang telah menyusahkan rakyat, merosakkan imej negara dan mencalar maruah Malaysia yang dahulunya disegani oleh dunia tetapi kini menjadi sebuah negara kleptokrat yang dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang rakus mencuri khazanah negara.

“Kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih besar daripada melayani karenah segelintir individu pengkhianat parti yang kecewa dan rendah moral,” ujarnya.

Kenyataan bersama disokong oleh:

Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Tambun
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Tg Malim
Ketua Armada Negeri
Ketua Srikandi Negeri
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Bukit Gantang
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Padang Rengas
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Sg.siput
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Kampar
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Kuala Kangsar
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Bagan Serai
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Pasir Salak
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Lumut
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Tapah
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Bagan Datoh
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Parit
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Lenggong
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Ipoh barat
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Taiping
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Larut
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Gerik
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Batu Gajah
Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Parit Buntar
Timbalan Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Gopeng
Timbalan Ketua Bahagian dan Barisan Jawatankuasa Bahagian Teluk Intan

COMMENTS

Wordpress (0)