Malaysia Dateline

Bersatu percaya PH menang PRU15 jika Umno mahu bersendirian

Selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN akan bergerak secara sendirian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU), Bersatu sudah mula memberi gambaran Pakatan Harapan bakal menang dalam PRU nanti.

Bersatu mula membayangkan keputusan Umno untuk bertanding secara sendirian nanti secara tidak langsung memberi peluang keemasan kepada Pakatan Harapan menang dalam PRU15 nanti.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menegaskan jika Perikatan Nasional berpecah DAP dan PKR melalui PH akan menghidu peluang dan keuntungan nanti.

Wan Saiful turut mendakwa PH memang mahu undi Melayu berpecah supata DAP dan PKR akan dapat kembali membawa agenda mereka dalam kerajaan.

“Yang mahu memecahkan kesatuan politik Melayu bukan Bersatu. Yang mahu membuka ruang untuk PKR dan DAP kembali berkuasa juga bukan Bersatu,” katanya melalui Facebook.

Malah Saiful menjelaskan Bersatu sentiasa menyeru kepada penyatuan agar kestabilan negara dapat diwujudkan dan dikekalkan, dan agar struktur asas kuasa politik negara dapat dikekalkan.

“Kita perlu teruskan usaha menjaga kesatuan politik Melayu. Kesatuan ummah yang telah dibina dalam PN ini mahal harganya.

“Tetapi jika perlu, seperti yang ditegaskan oleh Tan Sri Muhyiddin, kita sesekali tak akan undur dari perjuangan ini dan kita akan pastikan agenda perjuangan tetap dijulang,” katanya dalam Dialog Penerangan Bersatu peringkat negeri Selangor semalam.

Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengatakan dengan jelas dan tegas bahawa Perikatan Nasional bersedia bertanding di semua kerusi sekiranya Umno berkeras tidak menghargai kesatuan politik Melayu yang ada sekarang.

Ketika Perhimpunan Agung Umno semalam, Umno memutuskan BN akan bertanding secara bersendirian dalam PRU15 dan perlu menang paling banyak kerusi untuk kembali menjadi parti dominan dalam kerajaan gabungan selepas itu.