Malaysia Dateline

Bersatu pro Muhyiddin tak letak calon untuk PRK Dun Chini

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan meletakkan calonnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu dibuat untuk memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon yang akan diputuskan oleh Barisan Nasional bagi mewakili Perikatan Nasional.

“Seluruh jentera Bersatu juga akan digerakkan untuk memastikan kemenangan wakil Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Bersatu dari kem Dr Mahathir Mohamad juga tidak akan meletakkan calon pada PRK Dun Chini yang bakal diadakan 4 Julai nanti.

Keputusan itu diambil selepas PKR pada 6 Jun mengumumkan untuk tidak bertanding di kerusi itu yang dimenangi BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan perkara itu telah dipersetujui Majlis Presiden Pakatan Harapan.

SPR sebelum ini mengumumkan PRK DUN Chini akan diadakan pada 4 Julai ini, manakala hari penamaan calon pada 20 Jun, dan pengundian awal pada 30 Jun, dengan kos keseluruhan PRK itu dianggarkan berjumlah RM4.3 juta.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.