Malaysia Dateline

Bersatu pula failkan saman pemula terhadap RoS

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memfailkan saman pemula terhadap Jabatan Pendaftar Pertubuhan (Ros) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Tetuan Mohd Haniff Khatri Abdulla  memfailkan saman pemula itu dengan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh sebagai plaintif.

Mohd Haniff berkata, RoS telah mengeluarkan pelbagai kenyataan kepada orang awam kononnya Bersatu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan dan perlembagaan parti.

“PPBM dari masa ke semasa telah hubungi RoS melalui perbincangan dan surat tetapi tidak ada sebarang respon positif daripada RoS.

“Memandangkan PPBM sudah berdaftar secara rasmi sejak 8 September 2016, PPBM telah laksanakan menurut perlembagaan parti dan peruntukan Akta Pertubuhan.

“Oleh kerana perkara ini masih dipersoalkan tiba masanya PPBM bawa ke mahkamah supaya mahkamah dapat beri keputusan adil,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di ruang legar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta hari ini.

Menurut Mohd Haniff lagi, sebanyak empat deklarasi telah diserahkan kepada defendan.

Bersatu memohon perintah bertanggungjawab menjalankan kuasa mengikut perlembagaan parti dan diselia di bawah Akta Pertubuhan.

Keduanya, sekiranya ada sebarang aduan terhadap parti, RoS bertanggungjawab mengikut prosedur di bawah Akta Pertubuhan.

Ketiga, apa yang dilakukan RoS setakat ini yang mengeluarkan pernyataan awam berbau mala fide dan menyalahi Akta Pertubuhan.

Dan keempat ujarnya, mana-mana aduan dilakukan oleh mana-mana pihak terhadap parti hendaklah disiasat di bawah peruntukan undang undang yang sama.

Justeru kata Mohd Haniff, sehingga mahkamah belum membuat sebarang keputusan, RoS tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang pernyataan awam yang tidak memberi penjelasan tepat dan boleh menimbulkan salah faham terhadap Bersatu.

Beliau juga berkata dokumen saman pemula itu akan dihantar kepada RoS hari ini.

Ditanya mengapa saman pemula ini tidak difailkan serentak dengan semakan kehakiman yang dibuat oleh Pakatan Harapan semalam, Mohd Haniff menjelaskan, permohonan untuk pendaftaran PH mesti dikeluarkan melalui semakan kehakiman.

“Hari ini saya memfailkan satu deklarasi melalui saman pemula bukan semakan kehakiman. Parti berpendapat RoS tidak patuh undang-undang sebenarnya RoS lah yang terlebih dahulu kena patuh kepada undang-undang.

“Kedua-dua tindakan ini (saman pemula Bersatu dan semakan kehakiman PH ) amat penting demi keadilan dan demokrasi parti agar dapat  berkembang  di negara ini,” ujarnya.

Beliau turut mengulas kenyataan Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim semalam bahawa pemfailan semakan kehakiman oleh PH akan merencat proses kelulusan gabungan itu.

“Jika apa yang dikatakan itu betul maka pemfailan semakan semula kami di sini, sewajarnya mencacatkan niat jahat RoS untuk menyahdaftar PPBM sehingga mahkamah membuat keputusan,” ujarnya.

Turut hadir hari ini adalah Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Ketua Srikandi Rina Harun dan Ketua Penerangan Datuk Kamaruddin Md Nor.

Baca : PH failkan saman terhadap RoS