Bersatu Pulau Pinang umum tanding Parlimen Tasek Gelugur, 4 kerusi Dun

Marzuki (tengah) yang akan bertanding Parlimen Tasek Gelugor bersama calon-calon Dun yang akan ditandingi Bersatu di Pulau Pinang.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang akan bertanding satu kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Bersatu Negeri Pulau Pinang, Marzuki Yahya ketika mengumumkan calon-calon yang akan bertanding bagi kerusi tersebut malam semalam di Kelab Cinta Sayang, Sungei Petani, Kedah.

Menurut beliau lagi, calon-calon yang diketengahkan kali ini adalah mereka yang telah begitu lama komited dalam perjuangan.

Jelas Marzuki lagi, bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor, ia akan ditandingi oleh beliau sendiri selaku Pengerusi Bersatu Negeri Pulau Pinang.

Manakala bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga merupakan mantan exco kerajaan negeri semasa BN memerintah dahulu, Datuk Seri Mohd Shariff Omar akan bertanding di kerusi Dun Permatang Berangan.

“Untuk kerusi Dun Penaga ia akan ditandingi oleh Yaacob Osman yang menerajui kepimpinan Bersatu Bahagian Nibong Tebal.

“Sementara itu bagi kerusi Dun Bertam pula ia akan ditandingi oleh seorang pengamal undang-undang Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.

“Dun Teluk Bahang yang merupakan satu-satunya Dun di sebelah Pulau akan diwakili oleh Zolkifly Md Lazim yang merupakan seorang usahawan korporat terkenal,” ujarnya lagi.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang memberi kemenangan kepada BN dengan memperolehi 24,393 undi.

Manakala Pas semasa berada dalam gabungan Pakatan Rakyat berjaya mendapat dokongan sehingga mencecah sebanyak 21,351 undi ketika Datuk Seri Abd Rahman Maidin bertanding atas tiket parti tersebut.

Calon Bebas pula hanya berjaya mendapat 1590 undi.

Kerusi Dun Permatang Berangan dimenangi oleh BN yang memperolehi 8,913 undi dengan mengalahkan calon Pas yang mendapat 7,292 undi dengan majoriti 1,621 undi.

Untuk kerusi Dun Penaga pula BN berjaya menang dengan mendapat 8,350 undi setelah menewaskan Pas yang memperolehi sebanyak 6,688 undi dengan majoriti 1,662 undi.

BN turut menang bagi kerusi Dun Bertam dengan memperolehi undi sebanyak 7,939 undi dengan mengalahkan calon PKR yang meraih sebanyak 6,297 undi dengan majoriti 1,642 undi.

Namun begitu bagi kerusi Teluk Bahang calon BN menang dengan mendapat 6,034 undi setelah menewaskan calon PKR yang mendapat sebanyak 5,233 undi dengan majoriti sebanyak 801 undi sahaja.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote