
Bersatu pusat, negeri harus prihatin keperluan dana laksana program, aktiviti rakyat
Bukan sahaja Bersatu Bahagian Tasek Gelugor, terpaksa mencari dana sendiri bagi menjalankan setiap program dan aktiviti kemasyarakatan, sebaliknya bahagian lain yang ada di Pulau Pinang juga terpaksa mencari sumber sendiri kata, Setiausaha Bersatu Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Jasmin Mohamed.
Beliau berkata, sudah hampir setahun berlalu banyak program bahagian terpaksa dilaksanakan secara ala kadar kerana kekurangan dana dan peruntukan.
Sehubungan itu ujarnya, pengurusan Bersatu di peringkat negeri dan juga Pusat perlu memberi perhatian yang serius bagi memastikan setiap aktiviti yang direncanakan dapat direalisasikan sepertimana yang dirancang.
“Tidak dapat dinafikan kebanyakan program bahagian tidak dapat berjalan lancar kerana kekurangan dana dan sumber.
“Terlalu banyak program turun padang mendekati masyarakat dan mereka yang memerlukan harus disantuni.
“Kita menerima banyak keluhan dan rintihan golongan yang mengharapkan sokongan dari kerajaan dan juga parti, ” tegasnya lagi.
Malah katanya, sekiranya peruntukan tidak diperolehi setelah begitu lama, adalah sukar bagi mengaktifkan bahagian masing-masing.
“Amatlah diharapkan Badan Perhubungan Negeri dan juga Pusat dapat memberi perhatian terhadap masalah yang sering dihadapi sejak sekian lama.
“Bagi kawasan yang menjadi tumpuan Bersatu untuk mengekalkan kerusi Dun dan Parlimen untuk ditandingi, maka perhatian yang lebih serius mesti diberikan.
“Dengan itu sahaja maka sokongan mampu diraih setelah pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan secara rutin sepertimana yang telah direncanakan, ” tambahnya lagi.
Menurut Jasmin lagi, bagi mengekalkan kemenangan sedia ada dan meningkatkan lagi sokongan, kepedulian yang amat serius mesti diberikan bagi memastikan Pakatan Harapan mampu meneruskan kesinambungan kemenangan dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Katanya, masalah sebegini tidak harus dipandang ringan atau enteng kerana ia melibatkan kesejahteraan dan sosial masyarakat setempat yang amat mengharapkan nasib mereka diberi pembelaan.