Malaysia Dateline

Bersatu Putrajaya teguh sokong Mahathir sebagai PM

 

Berilah seribu orang pun, namun tiada siapa yang mampu menandingi kredibiliti dan kemampuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mengurus negara yang mempunyai pelbagai fahaman politik, budaya dan latarbelakang kaum.

Ketua Bahagian Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Erwan Tahir berkata, barisan kepimpinan Bersatu Putrajaya sebulat suara menyokong dan mahu beliau kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia dan bukan hanya setakat Perdana Menteri Interim.

“Kami melihat kemampuan Mahathir dari pelbagai sudut dan buat masa ini pengalaman serta kecekapan dalam mengurus negara belum dapat ditandingi oleh sesiapa pun, jadi kami merayu agar beliau dapat meneruskan khidmat.

“Bersatu Putrajaya akan kekal teguh di belakang Mahathir walau dalam apa juga situasi. Kami yakin kepimpinannya yang luar biasa mampu meletakkan semula tadbir urus negara di landasan yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Erwan yang baru sahaja memenangi kerusi Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya pada pemilihan Sabtu lepas mencabar pihak yang mahukan beliau melepaskan jawatannya menamakan siapa yang setanding dan sehebat Mahathir?

“Kita belum ada lagi pemimpin seperti beliau. Segala sifir politik dalam gengamannya. Pengalaman beliau sejak 1981 hingga 2003 sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat telah menghasilkan terlalu banyak manfaat buat negara ini dan rakyatnya.

“Dari sekecil-kecil krisis kepimpinan hinggalah kepada krisis kewangan yang paling teruk melanda dunia di mana Malaysia merasainya tempiasnya, juga berjaya ditangani Tun,” katanya.

Dalam masa sama, Erwan turut mengingatkan mereka yang mendesak Mahathir melepaskan jawatannya agar bersihkan hati terlebih dahulu.

“Kita kena belajar dari kesilapan apabila jawatan nombor satu jatuh ke tangan orang yang tidak kompeten. Jangan perjudikan lagi nasib dan masa depan negara.

“Beri sedikit lagi masa untuk Tun membaik pulih Malaysia. Terlalu banyak kerosakan luar dan dalam yang telah terjadi dan pemimpin yang rakus dan korup tidak boleh ada tempat di Putrajaya!,” tegas beliau.

Katanya, masyarakat juga harus melihat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang dicetuskan tahun lalu.

“Wawasan itu pastinya menjadi penanda aras yang Tun sudah letakkan untuk diri beliau sendiri malah keseluruhan anggota kabinet yang dipimpinnya.

“Kita menyambut dengan penuh keyakinan dan harapan yang tinggi agar WKB itu dapat diterjemahkan dengan rasa cinta dan kasih agar segala kemakmuran ekonomi dan apa sahaja yang kita kecapi dikongsi secara adil oleh semua. Jadi di mana kepincangan pimpinan beliau?

“Justeru hari ini sekali lagi, kami kepimpinan Bersatu Putrajaya malah seluruh negara mahu Tun terus diberi mandat untuk menerajui Malaysia yang kita sayangi,” katanya.

Beliau menambah, walaupun senario politik masakini agak mendukacitakan, namun beliau yakin Mahathir sudah mempunyai perancangan yang terbaik untuk memastikan Malaysia kembali stabil dan kita dapat fokus kepada usaha membangun serta mengukuhkan kedudukan ekonomi negara