Malaysia Dateline

Bersatu Putrajaya tidak terjejas pun, kata Hamzah

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan bahawa akar umbi dan kepimpinan Bersatu Bahagian Putrajaya sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan utuh.

Kenyataan ini dikeluarkan Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berikutan tindakan bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir mengumumkan keluar daripada parti itu serta-merta dan kembali menyertai Umno.

Menurut Hamzah, tindakan bekas Ketua Bahagian Putrajaya memohon untuk kembali menyertai Umno tidak menjejaskan Bersatu Putrajaya.

Ini kerana, katanya Dr Erwan telah pun meletakkan jawatannya pada 10 Oktober tahun lalu (2020) setelah tewas dalam pemilihan parti bagi jawatan Naib Presiden Bersatu.

“Dalam tempoh peletakan jawatan beliau, akar umbi Bersatu Bahagian Putrajaya terus diperkukuhkan di bawah kepimpinan pemangku Ketua Bahagian yang juga Timbalan Ketua Bahagian Putrajaya, Tuan Fathul Azam Hashim melalui penubuhan cawangan dan pendaftaran keahlian Bersatu yang baharu,” katanya.

Justeru beliau menegaskan bahawa kepimpinan dan akar umbi Bersatu di semua peringkat sentiasa cekal dan istiqamah menghayati perjuangan parti dan tidak berlandaskan hanya kepada sokongan terhadap seseorang individu.

Terdahulu, Erwan mengambil keputusan keluar dari Bersatu kerana mempercayai hanya Umno dapat memartabatkan dan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, perlembagaan Malaysia serta Raja-raja Melayu seperti dinyatakan di dalam asas penubuhan Umno.

Turut bersama untuk menyertai Umno adalah kepimpinan tertinggi Bahagian Bersatu Putrajaya termasuk naib ketua bahagian, setiausaha bahagian, ahli jawatankuasa bahagian, kepimpinan Srikandi dan Armada serta lebih 120 orang ahli Bersatu Putrajaya.

Beliau dilaporkan telah menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, petang semalam.