Walaupun Umno mempunyai 39 ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat berbanding 31 dimiliki Bersatu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), Bersatu mendominasi sejumlah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Parti bunga raya itu menyapu tiga daripada lima jawatan pengerusi agensi di bawah KPLB untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa kelmarin.
Untuk rekod, KPLB diterajui Ahli Parlimen Mersing dari Bersatu, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Agensi yang dikuasai Bersatu adalah Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh, sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Johor Tenggara (KEJORA).

Sementara itu, pelantikan Senator Datuk Razali Idris sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah (KETENGAH) dilihat usaha Bersatu menempatkan diri di negeri ditadbir Pas itu.
Hanya seorang pemimpin Umno dilantik sebagai Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) iaitu Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Sharif.
Begitu juga Pas hanya seorang dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kelantan Selatan (KESEDAR) iaitu Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Dalam Dewan Rakyat kerajaan PN, Pas mempunyai 18 wakil.
Tempoh pelantikan kelima-lima mereka terbabit sebagai pengerusi agensi ialah dua tahun, bermula 1 Mei 2020 sehingga 30 April 2022.
