Malaysia Dateline

Bersatu Sarawak: Henti provokasi isu peralihan kuasa

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak meminta semua pihak yang masih berbalah tentang isu peralihan kuasa melibatkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya berhenti melakukan provokasi tersebut dan memfokus kepada agenda memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sarawak, Jaziri Alkaf A.Suffian berkata, bersandarkan penerangan yang dijelaskan oleh Tun Dr. Mahathir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kelmarin, ia sudah cukup untuk menjawab segala isu berkaitan peralihan kuasa antara beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, Tun Dr. Mahathir dalam sidang media itu telah menjelaskan bahawa segala keputusan telah diserahkan kepadanya dan segala yang diputuskan telah diterima oleh pimpinan PH.

“Beliau (Tun Dr. Mahathir) juga menjelaskan peralihan akan berlaku selepas Persidangan APEC tetapi tiada tarikh yang ditetapkan. Malah beliau bakal menentukan sama ada melepaskan jawatan atau tidak.

“Oleh demikian, adalah lebih baik PH menumpukan kepada memberi khidmat kepada rakyat yang kini semakin terhimpit akibat kekangan ekonomi yang berlaku ketika ini serta hentikan politik yang keterlaluan dan mempunyai kepentingan peribadi kerana rakyat sudah bosan dengan agenda sedemikian.

“Apatah lagi kini banyak lagi tugas yang belum selesai terutamanya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat kerana mereka yang perlu menjadi keutamaan dan bukannya agenda untuk kepentingan peribadi,” ujarnya.

Jaziri berkata demikian menerusi kenyataan yang dihantar ke Malaysia Dateline melalui Whatsapp di Kuching hari ini.

Beliau menjelaskan, Bersatu Sarawak turut menyatakan kesediaan untuk menjadi parti yang diberi peranan lebih besar dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa dalam tahun ini.

Katanya lagi, Tun Dr. Mahathir sudah memberi indikasi selepas berakhirnya pemilihan parti Bersatu nanti, Sarawak akan menjadi tumpuan berikutan kemungkinan PRN akan berlangsung.

“Maka, adalah menjadi harapan akar umbi berdasarkan pengamatan melalui jelajah dan program yang dibuat Bersatu di seluruh Sarawak yang mahukan parti ini memainkan peranan penting malah mengetuai PH dalam menghadapi PRN nanti.

“Oleh itu, Bersatu Sarawak mahu menyahut cabaran itu kerana sudah ada keperluan dari pengundi di akar umbi yang mahu kami menjadi tunjang utama dalam PRN nanti.

“Secara dasarnya saya melihat Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu telah melancarkan semboyan dan kami telah bersedia serta membuat persediaan rapi untuk bertanding pada PRN kelak,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau turut melihat Mesyuarat Ketua Penerangan Bahagian-Bahagian Bersatu Sarawak yang dianjurkan oleh Ketua Penerangan Bersatu Sarawak Lt Madya (B) Duke Janteng, adalah antara medan terbaik dalam memperbaiki dan mencari kelemahan dan kekuatan parti.

Katanya, melalui mesyuarat berkenaan mampu melihat dan menilai kekuatan serta potensi parti dan calon secara keseluruhan sekali gus bersedia meletakkan calon yang berkaliber serta berkemampuan untuk menang bersama komponen lain dalam PH.

“Kami juga bakal mengemukakan calon dan kerusi yang dirasakan bersesuaian kepada Dr. Mahathir dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana kata putus adalah terletak di tangan mereka,” ujar beliau lagi.