Malaysia Dateline

Bersatu Sarawak sambut baik kenyataan Baru Bian

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak menyambut baik kenyataan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian mengenai konsensus pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke- 12 Sarawak nanti.

Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf Suffian berkata, beliau amat menghargai dan merakamkan penghargaan atas kenyataan Baru Bian kerana memberi kepercayaan kepada Bersatu untuk bersama-sama berkhidmat demi rakyat di negeri ini.

Katanya, semenjak Bersatu bertapak di negeri ini pada 2018, ia adalah menjadi keutamaan untuk sentiasa memberi yang terbaik kepada rakyat Sarawak.

“Malah sambutan rakyat terhadap Bersatu di Sarawak dilihat semakin membanggakan dan terbukti melalui siri jelajah yang telah saya dan rakan-rakan dalam parti lakukan di seluruh negeri sejak beberapa bulan lepas.

“Oleh itu, selaku Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sarawak, saya merakamkan penghargaan atas kenyataan Baru Bian yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak kerana memberi kepercayaan kepada Bersatu Sarawak untuk bersama-sama berkhidmat demi rakyat di negeri ini.

“Malah Bersatu Sarawak juga merakamkan jutaan terima kasih kepada beliau atas kesediaan untuk berkongsi kerusi dengan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN12) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Jaziri berkata, ini adalah satu usaha yang baik memandangkan Bersatu adalah sebuah parti yang baharu menapak di Sarawak dan sudah tentu memerlukan kerjasama erat antara parti komponen di dalam Pakatan Harapan (PH).

Justeru jelasnya, adalah menjadi harapan dan keutamaan Bersatu agar semua parti komponen PH di Sarawak yang terdiri daripada Bersatu, PKR, DAP dan AMANAH boleh duduk semeja untuk bersama-sama mencapai kata sepakat dalam hal pembahagian kerusi yang ditandingi.

“Perkara pembahagian kerusi ini perlu jelas dan sepakat supaya PH Sarawak dapat bersiap sedia dengan mantap dan berganding bahu secara ikhlas dalam menghadapi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN12.

“Bersatu Sarawak turut berharap agar semua persengketaan dalaman Parti Komponen PH Sarawak dapat diketepikan terlebih dahulu demi memastikan misi menawan Sarawak daripada GPS berjaya dilaksanakan.

“Sehubungan itu, saya amat bersetuju bahawa hanya calon boleh menang (winnable candidate) sahaja yang harus dipertimbangkan untuk menjadi calon PH nanti,” tegasnya.

Beliau menambah, memandangkan PH kini sudah menjadi kerajaan di peringkat pusat berbanding pada PRN sebelum ini, ia adalah penting bagi PH menggelak mengulangi kesilapan bertanding menentang sesama sendiri seperti yang berlaku pada PRN11 yang akhirnya hanya merugikan PH secara keseluruhan akibat kurang persefahaman dan kerjasama sesama sendiri.

“Dengan itu, untuk PRN kali ini adalah lebih baik jika PH duduk berbincang mencari jalan sehaluan dalam menyelaras semua isu utama di Sarawak.

“Persefahaman sebegini amat penting supaya semua pembangunan malah permasalahan di Sarawak dapat di atasi secara progresif serta efektif.

“Saya amat berharap yang terbaik untuk rakyat negeri ini kerana Bersatu Sarawak hanya akan lakukan yang terbaik untuk memastikan Sarawak terus menjadi wilayah yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara bangsa mahupun di peringkat ASEAN,” ujar beliau lagi.
Attachments area