Malaysia Dateline

Bersatu Sarawak sokong tiga jawatan utama dikekalkan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sarawak menyokong penuh usul supaya tiga jawatan utama Majlis Pimpinan Tertinggi dalam parti itu dikekalkan tanpa sebarang pertandingan pada pemilihan parti bagi memberi ruang untuk mengukuhkan dan mengekalkan kestabilan parti.

Pengerusi Badan Pimpinan Tertinggi Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf A. Suffian menyatakan sokongan penuh supaya jawatan Pengerusi yang dipegang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, jawatan Presiden yang disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Timbalan Presiden oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir perlu dikekalkan kerana mereka inilah antara pejuang asal dan pengasas parti ini dalam melawan parti pemerintah sebelum ini yang terjerumus dalam masalah kleptokrasi.

Katanya, akibat kegagalan Barisan Nasional (BN) menangani masalah rasuah yang begitu teruk ketika itu telah memungkinkan parti Bersatu ditubuhkan sekali gus perjuangan menentang rasuah menjadi agenda utama parti yang akhirnya berjaya menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu bersama parti-parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH).

“Jasa ketiga-tiga pemimpin ini terutamanya Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir amat besar dalam mengubah landskap dan hala tuju politik negara.

“Maka seharusnya mereka ini perlu terus diberi peluang memimpin parti dan negara demi mengekalkan kestabilan serta meneruskan usaha memperkukuhkan parti.

“Walaupun Sarawak tidak terlibat dalam pemilihan parti kali ini namun memandangkan Bersatu adalah sebuah parti yang masih baharu, sebaik-baiknya semua kepimpinan bahagian dan negeri perlu turut sama memberi sokongan penuh kepada pimpinan parti serta menyokong supaya tiga jawatan utama MPT ini dikekalkan tanpa sebarang pertandingan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan menerusi pesanan Whatsapp kepada Malaysia Dateline di Kuching hari ini.

Malah, menurut Jaziri dengan pengekalan tiga jawatan Majli Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam Bersatu adalah diharapkan dapat membantu mengekalkan momentum parti dalam membantu Bersatu Sarawak yang akan berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 yang dijangka akan berlangsung dalam tahun ini.

Selain itu jelasnya, Bersatu Sarawak juga baharu sahaja selesai mengadakan kunjungan hormat pusingan pertama kepada Menteri dan Timbalan Menteri dari parti Bersatu melibatkan 20 bahagian dari Sarawak.

“Kunjung hormat ini adalah antara persediaan dan persiapan Bersatu Sarawak untuk menghadapi PRN12 akan datang.

“Antara kunjung hormat Bersatu Sarawak melibatkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Redzuan Md Yusof, Timbalan Menteri Luar Negara, Senator Datuk Marzuki Yahya, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Radzi Jidin dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Shaharuddin Md. Salleh,” ujar beliau.