Malaysia Dateline

Bersatu Sarawak sokong tolak kerjasama dengan Umno

Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak,  Jaziri Alkaf A.Suffian menyokong penuh pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad yang menolak kerjasama dengan Umno secara ‘en-bloc’ dalam usaha membentuk kerajaan baharu.

Menerusi kenyataannya di Kuching petang ini, beliau menegaskan bahawa Bersatu Sarawak menyokong serta memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Tun Dr Mahathir dalam menanggani penyelesaian kemelut politik masa ini.

“Sokongan tanpa berbelah-bahagi juga diberikan sepenuhnya kepada Tun Dr Mahathir yang bertindak sebagai Perdana Menteri Interim dan memimpin pentadbiran kerajaan demi kestabilan dan kepentingan negara.

“Malah, Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sarawak turut menjunjung mandat rakyat yang telah berani menyingkirkan Kerajaan Kleptopkrasi Umno / BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Bersatu Sarawak mendoakan semoga Allah S.W.T. akan sentiasa memberi bimbingan dan hidayah kepada Tun Dr Mahathir serta seluruh rakyat Malaysia ketika ini.