Malaysia Dateline

Kamarudin Md Nor

Bersatu sasar Parlimen di Kelantan, sedia berkompromi kerusi Dun

Pengerusi Perhubungan Bersatu Negeri Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor berkata, walaupun parti itu menyenaraikan calon untuk bertanding di Parlimen dan Dun, namun Kelantan adalah negeri tumpuan kepada kerusi Parlimen selain di negeri Johor dan Kedah.

Tanpa menyatakan jumlah sasaran di Parlimen dan Dun di Kelantan, beliau memberitahu, senarai calon sudahpun di bawa ke peringat tertinggi parti itu.

“Kita sudah kenal pasti kerusi yang kita nak bertanding tetapi ia sudah pasti tertakluk kepada rundingan dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Kita juga sudah menyenaraikan calon semuanya muka baru, muda, berpengalaman dan anak tempatan. Kita sudah bawa keperingkat PPBM pusat.

“Sehingga kini diperingkat pusat masih lagi belum berbincang dengan pimpinan Pakatan Harapan.

“Walaupun Pakatan Harapan akan meletakkan calon-calon mereka di semua tempat di Kelantan ini, bagi keutamaan PPBM Kelantan kita lebih menumpukan pada kerusi Parlimen,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Di Kelantan mempunyai 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi Dun, yang mana Bersatu menyasarkan sekurang-kurangnya sejumlah 8 kerusi Parlimen.

“Secara umumnya PPBM menyasarkan kepada 8 kerusi Parlimen tetapi jika ada calon lebih baik dari parti gabungan, kita sedia bertolak ansur di kawasan- kawasan parlimen tersebut.

“Ini akan menjadi garis panduan kita untuk perundingan di peringkat Pakatan Harapan.Tidak mudah untuk menentukan calon yang sesuai dan calon boleh menang untuk bertanding.

“Bagi kita tidak guna meletakkan ramai calon tapi tidak menang semua kerusi yang ditandingi. Kita akan pastikan tiap kerusi Parlimen atau Dun akan  dimenangi oleh semua calon PPBM, itu hasrat kita.

“Walaupun kita pada dasarnya akan bertanding dikerusi Umno tetapi tidak semua kerusi Umno akan kita tandingi sepenuhnya, masih ada pengecualian dan kita sedia berkompromi dengan rakan dalam pakatan harapan,” terangnya.

Ketua Bahagian Penaja Pasir Putih ini berkata, sokongan rakyat negeri Kelantan terhadap parti itu semakin meningkat kini telah mencecah anggaran lebih 20,000 ahli sejak ia mula ditubuhkan pada September tahun lalu.

“Kita masih banyak kerja nak buat sebelum menjelangnya PRU-14. Potensi untuk meningkat dan menambah sokongan dan ahli sangat mengalakkan ia melihat kepada program yang dianjurkan di negeri ini yang mendapat sambutan.

“Dulu orang takut nak hadir program lebih-lebih lagi kakitangan kerajaan kerana dibimbangi diugut oleh rejim Najib yang gemar ambil pendekatan `samseng’ terhadap pihak yang didapati menyokong pembangkang.

“Namun kali ini mereka tidak menyorok muka lagi,banyak program kami mereka akan datang tanpa rasa takut.

“Saya optimis apabila orang sudah tunjuk keberanian pastinya yang lain akan mengikut dan saya yakin dengan parti komponen lain juga begitu,” ujarnya.

Kamarudin yang juga Ketua Penerangan Bersatu berpendapat dengan terbentuknya struktur Pakatan Harapan pada Khamis lalu, memberikan isyarat kepada pertambahan sokongan rakyat terhadap parti gabungan.

“Jika Pas ada ‘harum manis’ bagi PPBM pula kita ada ‘tembikai’ yang mana di luar hijau di dalam merah.Kita tidak tarik mereka masuk parti kita tetapi mereka datang kepada kita.

“Ini menandakan Pas yang menerajui kerajaan negeri semakin terjejas dengan sokongan ahlinya yang kini boleh dikatakan sudah memilih Amanah dan PPBM di negeri ini,” ujarnya.

Ditanya mengenai pengundi Cina di negeri itu, Kamarudin menjelaskan sokongan pengundi Cina masih lagi kepada BN bagaimanapun ia bergantung kepada tindakan kerajaan terhadap keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) terhadap isu jawatankuasa induk DAP itu.

“Jika calon DAP tidak dibenarkan bertanding ini menyebabkan masyarakat Cina dan seluruh rakyat akan lebih bersimpati terhadap DAP.

“Jika 80 peratus pengundi Cina sokong DAP jika tidak selesai masalah ini (RoS) sokongan akan meningkat menjadi 90-95 peratus. Bagi yang tidak sokong DAP ialah pemimpin MCA, Gerakan dan mereka yang masih duduk dalam kerajaan.

“Kajian kita mendapati masyarakat Cina majoritinya sudah mula nampak mengenai masalah di negeri dan isu-isu besar membabitkan kepentingan rakyat yang boleh menjejaskan sokongan terhadap Umno-BN bukan sahaja di Kelantan tapi di seluruh negeri,” ujarnya.