Malaysia Dateline

Bersatu sekadar ‘tukang pacak’ di PRN12 Sarawak?

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat hanya sebagai ‘tukang pacak’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak berdasarkan kepada kenyataan seorang Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, semalam.

Menurut Wan Junaidi, Bersatu boleh membantu GPS pada PRN12 akan datang tetapi bukannya meletakkan calon untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Malah beliau menegaskan ketika bersama Barisan Nasional (BN), parti Umno dan komponen BN yang lain tidak pernah bertanding di negeri ini.

“Anda hanya membantu kami dan bermaksud tidak meletakkan calon sama ada secara terbuka atau rahsia.

“Jika letak calon secara terbuka atau rahsia, anda tidak bersama kami,” jelasnya sambil memberitahu hanya orang Sarawak dapat berkempen untuk Sarawak dan sejujurnya mereka di Semenanjung Malaysia tidak memahami negeri ini.

“Dan kerana itulah…Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi masalah kerana mereka tidak faham kita dan sekarang mereka mula memahami kita sedikit dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan hak ke atas minyak dan gas, penyertaan dalam industri minyak dan gas serta setuju untuk melihat semula MA63 berdasarkan undang-undang,” tambah beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Sementara itu, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu semalam menyatakan kesediaan membantu GPS menghadapi PRN12 akan datang.

Ini berikutan Bersatu telah melihat GPS sebagai rakan setia menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketika ini.

Sebelum itu, semasa melakukan lawatan dua hari ke Sarawak tempoh hari Muhyiddin telah memaklumkan akan ada perbincangan antara kerajaan Perikatan Nasianal (PN) dan GPS pada PRN12 nanti.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada budi bicara Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta pimpinan GPS di Sarawak untuk membuat keputusan berkenaan.

“PRN12 Sarawak dijangka diadakan tidak lama lagi, apa yang lebih penting bukannya soal pembahagian kerusi namun kemenangan besar GPS sebagai rakan PN.

“Untuk Parti Pribumi Bersatu dan Pas, kita akan memberikan sokongan sepenuhnya, itu yang penting. Tidak ada perpecahan, kerjasama … ada kerusi atau tidak itu soal kedua, yang penting kita nak tentukan kemenangan besar kepada GPS kelak,” tegas Muhyiddin.