Malaysia Dateline

Bersatu sertai Umno, Pas bermesyuarat formal esok

Sekretariat tiga parti termasuk Bersatu buat kali pertama secara formal akan mengadakan mesyuarat esok yang akan diwakili lima pemimpin bagi setiap parti.

Sebelum ini, di peringkat parti antara Umno dan Pas mengadakan mesyuarat berterusan setiap dua minggu, kata Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, mesyuarat itu yang dijangka bermula jam 8 malam antara lain akan membincangkan persiapan strategi dan hala tuju parti termasuk bentuk kerjasama yang perlu dipraktikkan.

“Isu pengagihan kerusi mungkin tidak akan dibincangkan dalam mesyuarat kali ini,” kata Annuar pada sidang media selepas mengadakan lawatan di perusahaan kuih Akok Pok Long di Kampung Padang Mengkali, di Kota Bharu kelmarin.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) dilapor akan menubuhkan sekretariat membabitkan semua setiausaha agung parti dalam pakatan itu bagi merangka pelan dan menyelaras hala tuju gabungan terbabit.