Malaysia Dateline

Bersatu siasat Osman hadiri dua acara Pejuang

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin mengesahkan parti itu telah memulakan siasatan dalaman terhadap ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian yang hadir dalam sekurang-kurangnya dua acara anjuran Pejuang.

Menurutnya, Bersatu perlu mendapatkan kepastian terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan terhadap bekas Menteri Besar Johor itu.

“Ada juga yang kita terima aduan tapi seperti juga kita pernah lakukan kepada bekas-bekas pemimpin bersatu, apapun keputusan kita nak buat, kita kena dapatkan kepastian dulu.

“Itu semua kita telah hantar, dan bila sudah ada kepastian, kita akan ambil tindakan ikut perlembagaan kita. (Ia) sedang disiasat,” jelasnya.

Hamzah berkata demikian kepada pemberita setelah menghadiri sambutan ulang tahun keempat Bersatu di Kuala Lumpur, malam tadi.

Osman dilihat hadir acara Pejuang, yang diadakan untuk menghargai jentera parti dari Johor yang membantu kempen pada PRK Slim.

Sebelum itu, Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam berkenaan menyertai pimpinan Pejuang ketika kempen Pilihan Raya Kecil Slim di Perak.

Mengulas lanjut, Hamzah memberitahu semua bekas anggota yang dipecat Bersatu sebelum ini hanya diambil tindakan setelah parti tersebut mendapat cukup bukti.

“Semua yang telah kita pecat, sebenarnya aktiviti perlakuan mereka tu kita perhatikan, kita ambil semua dan itu rekod-rekod yang kita ada barulah kita ambil keputusan,” ujarnya.

Mei lalu, Bersatu telah memecat bekas Pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima Ahli Parlimen lain yang duduk bersama pihak pembangkang di Dewan Rakyat.