Malaysia Dateline

Bersatu Teluk Kemang minta Tok Mat kawal kelakuan penyokong BN di PRK Rantau

Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Teluk Kemang, meminta Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memantau kelakuan penyokong ketika penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dun Rantau.

Ahlinya, Megat Muhamad Faris berkata, ia merupakan permintaan anak muda supaya gambaran budaya samseng pihak pembangkang di hapuskan.

Megat Muhammad Faris

Katanya, peringatan tersebut susulan isu yang berlaku ketika penamaan calon PRK Semenyih yang lepas dan kes Mahasiswa diserang Ahli Majlis Perwakilan Tertinggi (MPT) Umno.

“Kita boleh lihat sewaktu penamaan calon PRK Dun Semenyih dimana Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diserang penyokong Barisan Nasional (BN) ketika menuju ke kereta beliau.

“Baru-baru ini pula timbul kes tujuh mahasiswa diserang oleh MPT Umno, Datuk Lokman Noor Adam.

“Pandangan umum melihat sentimen samseng ini telah menjadi ikutan dari kerajaan terdahulu,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengasas Muafakat Anak Muda Port Dickson, berkata, budaya samseng tersebut dapat dihapuskan sekiranya Mohamad Hasan menasihati para penyokongnya.

“Saya juga menyeru Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mangadakan satu ceramah kesedaran pada jentera BN tentang budaya ini.

“Kita mahu penamaan calon pada PRK Rantau berjalan dengan lancar tanpa ada berlaku sebarang insiden yang memberikan gambaran budaya tidak sihat untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah kenyataan itu, beliau meminta supaya budaya samseng dihindari dan dihapuskan oleh seluruh parti politik di negara ini.

Hari penamaan calon bagi PRK Dun Rantau akan diadakan pada 30 Mac ini.