Bersatu tentang Israel, seru Erdogan kepada pemimpin Islam

Bersatu tentang Israel, seru Erdogan kepada pemimpin Islam

Berucap dalam Persidangan Luar Biasa OIC di Istanbul semalam, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyeru pemimpin-pemimpin Islam bersatu untuk menentang Israel.

Kata beliau, Israel mesti dipertanggungjawabkan atas pembunuhan beramai-ramai yang dilakukannya terhadap rakyat Palestin yang mengundang kecaman serta protes meluas di seluruh dunia terutama di Asia, Timur Tengah dan Utara Afrika, lapor Al-Jazeera hari ini.

“Dengan bertindak ke atas pembunuhan rakyat Palestin oleh pengganas-pengganas Israel ini, kita akan menunjukkan kepada dunia bahawa kemanusiaan tidak mati,” kata Erdogan memberitahu pemimpin-pemimpin Islam yang berhimpun di kota raya terbesar Turki, Istanbul.

Presiden Turki itu menyifatkan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh Israel itu sebagai “samseng, kejam dan menakutkan” dan tambah beliau, pengiktirafan AS terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel adalah hantu di belakang semua ini.

Isnin lalu, AS meneruskan hasrat kontroversialnya menempatkan pejabat keduataan AS di Baitulmaqdis.

Ekoran peristiwa tersebut 62 orang rakyat Palestin termasuk kanak-kanak dibunuh dan lebih 2,700 yang lain cedera apabila tentera Israel melepaskan peluru hidup dan ga pemedih mata ke arah kepada rakyat Palestin yang berhimpun beberapa meter di garis pemisahan yang ditetapkan pejanjian dalam 1949 di antara Gaza dan Israel.

Mereka berhimpun untuk memperingati Hari Nakbah – peristiwa yang berlaku dalam 1948 di mana Israel menakluk bandar-bandar di Palestin dan menghalau penduduk Palestin, yang menurut sejah melibatkan 750,000 orang rakyat Palestin.

Persidangan luar biasa tersebut, lapor Al-Jazeera, dihadiri beberapa orang pemimpin negara kecuali Arab Saudi, hos kepada 57 anggota OIC, hanya menghantar pegawai kementerian luarnya.

Mesir, Bahrain dan UAE juga hanya menghantar pegawai rendah kementerian masing-masing.