Bersatu Terengganu azam tingkatkan aktiviti, keahlian

Bersatu Terengganu azam tingkatkan aktiviti, keahlian

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu mahu meningkatkan lagi aktiviti menambah keanggotaannya dalam usaha memperkasakan parti itu di negeri ini.

Pengerusinya Datuk Razali Idris berkata pada masa ini, PPBM mempunyai 1,800 anggota berdaftar di Terengganu dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 5,000 hingga 6,000 menjelang akhir tahun ini.

“Jumlah 1,800 ini adalah sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)…bagi jumlah terkini, kita belum ada kerana pendaftaran ahli secara dalam talian ditutup sementara. Bagaimanapun, banyak borang telah diedarkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar PPBM di Kuala Ibai di sini, hari ini.

Beliau juga memberitahu bahawa ramai anggota parti pembangkang yang menyuarakan hasrat untuk menjadi anggota PPBM.

Dalam pada itu, Razali turut meminta kerjasama parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR dan AMANAH membantu gerak kerja pakatan itu dalam membuat persiapan mantap demi mencapai kemenangan di Terengganu pada pilihan raya akan datang.

“PPBM juga akan mengadakan sesi penerangan kepada rakyat supaya dalam tempoh lima tahun ini rakyat memahami dan mengundi PH bagi menawan Terengganu,” katanya.