Malaysia Dateline

Bersatu terima bukan Melayu: Menteri Umno tidak mungkin lepaskan jawatan

Menteri Umno, Ahli Parlimen dan ADUN yang sudah selesa dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang tidak mungkin sanggup melepaskan jawatan masing-masing susulan gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

ADUN Meru, Selangor, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar berkata, pemimpin Umno ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sanggup melakukan apa sahaja untuk kembali berkuasa.

“Selama 22 bulan mereka sudah meroyan dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kembali kerajaan hatta terpaksa menebuk atap, berkompromi dengan musuh politik dan berpakat dengan seteru selamanya Pas.

“Soalnya, siapakah kalangan menteri Umno di dalam kerajaan PN yang berjumlah sembilan orang dan tujuh orang timbalan menteri yang mahu berkorban dengan mengundurkan diri dari Kabinet?

“Berapa ramai pula Ahli Parlimen Umno serta ADUN sanggup meletakkan jawatan dalam agensi kerajaan (GLC) atau Exco kerajaan negeri dengan memulangkan kembali jawatan dan gaji serta elaun yang bernilai puluhan ribu itu?” bidasnya dalam satu kenyataan.

Tengku Razaleigh atau dikenali sebagai Ku Li mengeluarkan kenyataan menggemparkan itu pada 28 Ogos lalu susulan pengumuman Bersatu untuk menerima bukan Melayu sebagai ahli parti.

Mengulas lanjut, Fakhrulrazi berkata, pandangan tajam Ahli Parlimen Gua Musang itu perlu diterima dengan hati terbuka oleh pemimpin Umno.

“Sebagai seorang penasihat Umno, seorang veteran yang mempunyai pengalaman dan tahu sepak terajang politik negara, kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah itu wajar diberi perhatian sepenuhnya oleh pemimpin Umno, terutama yang menjawat jawatan menteri.

“Sudah tentu kenyataannya itu berdasarkan kepada pengamatan dan bacaan politiknya, bukan kerana kedengkian kerana tidak dilantik dalam kabinet, atau kerana tidak menjadi calon Perdana Menteri kesembilan,” ujarnya lagi.