Bersatu terlepas peluang bawa perubahan lanskap politik Msia, kata bekas MPT

Bersatu terlepas peluang bawa perubahan lanskap politik Msia, kata bekas MPT

Kamarulazman Habibur Rahman Setelah meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Kamarulazman Habibur Rahman terus mengkritik barisan kepimpinan yang dakwanya hari ini sedang berhadapan dengan pelbagai masalah dalaman parti.

 Kamarulazman yang juga Presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) itu berkata, gerakan perubahan yang cuba dibawa Bersatu mula pudar dan lesu apabila parti ini dibanjiri oleh bekas ahli Umno dan ini menjadikan Bersatu sebagai ‘carbon copy’ bagi Umno.

“Jelas isu ini menjadikan orang ramai mual dengan janji kosong para pemimpinnya untuk menjadikan Bersatu serba baru. Ramai yang rasa tertipu.

“Bersatu tidak mempunyai agenda jitu yang boleh meyakinkan rakyat. Selain daripada menumbangkan Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Bersatu ‘clueless’ tentang perancangan masa depan untuk negara,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Menurut Kamarulazman lagi, sehingga kini parti itu tidak dapat menentukan siapa yang akan diangkat sebagai bakal Perdana Menteri, apatalah lagi untuk dibincangkan bersama dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Sampai ke hari ini, isu jawatan Perdana Menteri merupakan persoalan yang amat sensitif.

“Bersatu mempunyai idea tersendiri siapa yang patut diketengahkan untuk memenuhi jawatan itu. Ada yang bawa idea jawatan PM sementara.

“Namun adakah parti komponen dalam Pakatan Harapan akan terpedaya dengan idea PM sementara ini? Memandangkan ramai penggerak awal dalam Bersatu sendiri sudah rasa tertipu dengan gerakan belakang tabir beberapa pemimpin tertinggi parti, pasti parti parti komponen Pakatan Harapan amat berwaspada dengan Bersatu,” ujarnya.

Kamarulazman adalah salah seorang daripada tujuh pengasas Bersatu telah mengambil keputusan keluar parti dan meletakkan semua jawatannya pada April lalu kerana mendapati parti itu masih kabur dalam perjuangan.

Beliau juga tidak berhasrat untuk kembali menyertai Umno dan mahu fokus bersama NGO seperti GKCM yang akan terus berjuang untuk rakyat.

Justeru katanya lagi, rakyat ingin tahu siapa yang sebenarnya akan dilantik menjadi Perdana Menteri untuk membolehkan mereka membuat keputusan parti mana yang akan diundi dalam PRU 14 kelak.

“Saya berpendapat bahawa jawatan PM merupakan penentu kemenangan.

“Namun saya tidak yakin Pakatan Harapan sanggup mengambil risiko menamakan calon PM kerana pasti semua berkeinginan.

“Malahan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sendiri, calon PM berubah ubah dari Muhyiddin kepada Tun dan ia sering bertukar dari hari ke hari.

“Adakah ini menunjukkan ada kelompok Tun dan Muhyiddin? Bersatu pasti akan mengatakan ‘tiada’,” dakwanya.

Selain itu Kamarulazman turut berkata, isu GST juga perlu diperjelaskan. Isu ini merupakan antara perkara yang dimainkan oleh parti itu di dalam ceramah mereka.

Jelas dalam kritikan yang hebat terhadap cukai ini, parti itu ujarnya, tidak mempunyai keberanian dan kesungguhan dalam menghapuskan cukai sekiranya BN berjaya ditumbangkan.

“Kenyataan Bersatu adalah ianya akan ‘dihapuskan secara berperingkat’. Ianya tidak meyakinkan.

(kiri) Tan Sri Muhyiddin  Yassin  dan Tun Dr Mahathir Mohamad “Satu lagi kelemahan yang jelas dalam Bersatu ialah tiada kesungguhan untuk membincangkan mengenai barisan ‘kabinet bayangan’ sekiranya berjaya membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan.

“Menamakan kabinet bayangan sekarang akan membolehkan Bersatu dan Pakatan Harapan membincangkan isu-isu kepentingan rakyat dengan lebih terperinci.

“Sekali lagi ini tidak dilakukan kerana mereka tidak mahu menimbulkan persengketaan sesama sendiri apabila nama nama bakal menteri diumum awal.

“Ini menunjukkan betapa rapuhnya ikatan sesama mereka (Bersatu-PH). Perkara ini perlu diselesaikan,” tegasnya.

Katanya lagi, dalam kegairahan orang ramai mengharapkan perubahan, parti itu mula nampak rapuh dan tidak mempunyai perancangan masa depan yang utuh berbanding semasa dalam Umno dahulu.

” Tun kini seperti terpaksa melakukan segalanya termasuk operasi harian parti.

“Masa untuk ‘honeymoon’ sudah berlalu. Kini Bersatu terpaksa menghadapi realiti sebenar sebagai parti yang diwarwarkan menjadi agen perubahan. Ia tidak semudah yang disangka. Kegairahan orang ramai untuk menjadi ahli sudah mula pudar.

“Bersatu memerlukan sesuatu yang baru untuk ‘dijual’. Serangan bertali arus terhadap Datuk Seri Najib mula menjemukan orang ramai.

“Malangnya mereka yang mempunyai idea untuk kebaikan parti, tidak dialu alukan. Yang naik turun ke ibupejabat parti adalah mereka yang mempunyai sesuatu yang buruk untuk disampaikan tentang mereka yang berkebolehan.

“Pemilihan parti lebih diutamakan daripada PRU 14 oleh mereka yang gilakan kuasa.

“Rupa-rupanya politik Melayu masih di takuk lama. Tidak berubah. Semua perkara pokok yang ingin diketahui oleh rakyat, dianggap sensitif buat Bersatu. Semuanya tiada jawapan. Parti yang kabur dan tidak berani, pasti tidak dipilih oleh pengundi dalam PRU akan datang.

“Malang sekali buat Bersatu, peluang yang ada di depan mata telah disia siakan. Peluang ini tidak mungkin akan datang semula,” ujarnya.

 

COMMENTS

Wordpress (0)