Malaysia Dateline

Bersatu tidak akan bertanding PRN Sarawak, beri laluan pada GPS

Bersatu mengesahkan parti itu tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Presidennya, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin berkata, perkara itu diputuskan ketika perbincangan bersama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang juga Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menurutnya, Bersatu menghormati permintaan dari GPS agar parti itu diberi laluan pada pilihan raya negeri 18 Disember nanti.

“Kita sudah ada perbincangan dengan Abang Johari beberapa hari sebelum pengumuman PRN Sarawak dibuat.

“Kita bincang di peringkat parti yang kita tidak akan bertanding di PRN Sarawak. Kita dah buat keputusan.

“Yang penting kita nak tentukan parti di Sarawak menang dengan cemerlang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Dewan Serbaguna Lenga, hari ini.

GPS semalam mengumumkan akan bertanding di semua 82 kawasan DUN Sarawak pada PRN itu.

Mahiaddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, Bersatu akan membantu GPS dalam PRN Sarawak kali ini.

“Kita hormati pandangan GPS. Apa yang pasti, kita yakin GPS ada kekuatan.

“Atas dasar itu, ahli kita di sana akan membantu supaya GPS capai kemenangan lebih besar pada PRN Sarawak,” katanya.