Malaysia Dateline

Bersatu tidak pernah berhasrat ada kerusi paling banyak

Ketua Bahagian Bersatu Titiwangsa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui wujud cabaran dalam rundingan pembahagian kerusi antara partinya dengan Umno dan Pas.

Bagaimanapun, beliau berpendapat pemimpin utama ketiga-tiga parti besar Melayu itu sudah makan garam lebih awal untuk keputusan rundingan yang menang-menang bagi semua pihak.

“Bersatu, contohnya tidak pernah berhasrat menjadi parti yang mempunyai kerusi paling banyak.

“Tapi kita mengharapkan kerusi yang boleh dikatakan respectable, nombor yang boleh dihormati parti komponen dan parti lawan.

“Ini kerana kita mempunyai calon Perdana Menteri,” katanya dipetik wawancara dalam Mingguan Malaysia hari ini.

Bekas pegawai khas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tersebut berkata, faktor individu juga diambil kira dalam menentukan layak bertanding atau tidak selain parti.

“Di Jeli misalnya, kita tahu Tok Pa (Datuk Mustapa Mohamed) winnable candidate.

“Jadi, buat apa tukar orang, kalau kita tahu ia merugikan PN (Perikatan Nasional)? Inilah perkara-perkara yang perlu diperhalusi pimpinan tertinggi,” katanya lagi.