Malaysia Dateline

Tun Dr Mahathir Mohamad

Bersatu tunggu laporan polis jika Adun terbukti bersalah

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu akan menunggu laporan penuh daripada pihak polis berhubung siasatan terhadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan dadah.

Justeru itu, Bersatu berpandangan tindakan berat terhadap ahlinya akan diambil jika terbukti mereka bersalah dalam sesuatu kes jenayah.

“Saya dengar cerita sahaja, tidak tahu apa sebenarnya.

“Kita kena tunggu maklumat penuh daripada polis dan akan putuskan apa yang akan berlaku kerana kita berpegang kepada rule of law, jika sesiapa yang langgar undang-undang, termasuk saya, saya akan dimasukkan ke penjara,” katanya dalam sidang media sempena lawatan beliau ke Depot DMIA Serendah, seperti di[petik laporan Malaysiagazette hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini mengesahkan 16 daripada 17 individu ditahan dalam serbuan polis ke atas sebuah kondominium dekat Puchong melibatkan seorang wakil rakyat Selangor awal pagi tadi positif dadah.

 Serbuan di lokasi terbabit dijalankan susulan maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian secara terbuka.

Awal hari ini, seorang Adun Selangor ditahan polis dalam satu operasi semalam bersama-sama empat pegawai khas ahli politik parti kerajaan di sebuah kondominium di Jalan Puchong.