Malaysia Dateline

Bersatu-Umno bergasak, pembangkang usah hanya tunggu dan lihat

Tidak ada tali yang dapat mengikat pengkhianat. Kalau lembu bolehlah diikat dengan tali. Manusia pula diikat dengan janji. Sekali khianat sampai bila-bila pun tiada siapa mudah untuk percaya.

Sifat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak Langkah Sheraton sudah terang lagi bersuluh. Pemimpinnya sudah terbukti mengkhianati nilai setiakawan bersama Pakatan Harapan (PH).

Semalam, dewan Hotel Wyndham Klang gegak gempita dengan program Dialog Penerangan Bersatu Malaysia peringkat negeri Selangor. Biarpun pemimpinnya lantang bertempik mustahil jauh di sudut hati mereka tidak gelisah diterajang fakta realiti politik pilihan raya.

Yakin sungguh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk blok Perikatan Nasional (PN) yang diterajui partinya merampas Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Mungkin ada yang mendengar pun terjentik: dengar boleh, percaya jangan!

Bersatu yang melakukan langkah sulung di gelanggang PRU14 atas nama PH dengan meminjam lambang PKR di kertas undi, kini percaya sudah cukup kuat merampas Selangor. Lucu pun ada mendengarnya.

Nafsu Bersatu yang sebelum ini sanggup menadah sejumlah ahli parlimen ‘katak’ dikepalai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas dipecat dari PKR terlalu besar.

Hajat di hati Bersatu untuk menawan Selangor tidak ubah seperti mahu memeluk Gunung Tahan. Walhal, peluk Bukit Dua Ringgit pun tangan tidak sampai.

Kata Wan Saiful, PN ada peluang “amat cerah” dan sudah lama melakukan persediaan bagi merampas kerajaan negeri.

Hakikatnya, mustahil Bersatu mampu mencapai kemenangan di Selangor – kubu kuat PH dan sebelum ini Pakatan Rakyat (PR) – selepas gagal menarik rambut di dalam tepung dengan Umno.

Jangankan mahu ambil alih Selangor, menang dua, tiga kerusi pun belum lagi mampu hatta dalam mimpi sekali pun. Keputusan muktamad Umno untuk bergerak solo pada PRU15 membawa maksud bakal berlaku sekurang-kurangnya pertembungan tiga penjuru.

Bersatu yakin mampu merampas Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan PRU14 sudah cukup menjadi bukti. Pertandingan tiga penjuru antara Umno, Pas dan PH pada PRU 2018 menjadikan sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen dimenangi PH.

Umno dan Pas pada masa itu seperti kalah jadi abu, menang jadi arang. Dua-dua situasi rugi kerana tidak berada dalam satu blok gabungan politik. Rentetan itu, Umno-Pas cuba berbaik dalam Muafakat Nasional (MN). Termeterailah piagam bersama pada 14 September 2019.

Namun, hayat MN itu sendiri untuk mampu bertahan hingga PRU15 ibarat bergayut di dahan rapuh. Bila-bila masa sahaja tidak mustahil akan punah lantaran rasa tidak puas hati Umno yang menggunung.

Bibit-bibit tidak puas hati Umno terhadap Pas semakin terserlah. Kata dua Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terhadap Pas pasti tidak terhenti setakat itu sahaja.

Memang padan muka untuk Pas yang mempunyai 18 kerusi Parlimen itu kerana masih terus disindir dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 ekoran sikap main dua kolam apabila masih lagi berstatus salah satu parti komponen PN.

Mengkhianati Pas

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan semalam sudah pun bermadah tentang nilai setiakawan sejati. Madahnya tidak ubah bagai pasangan bercinta.

Katanya, setiakawan sejati bukan sampai menegah kawan itu untuk berkawan memandangkan kawan adalah rezeki persahabatan yang datang. Itu kata Takiyuddin.

Ikut fikiran logik mereka yang pengundi atas pagar pun boleh persoalkan kembali pendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu.

Bagaimana Pas masih mahu berkawan dengan Bersatu yang terbukti telah mengkhianati nilai setiakawan dalam PH tahun lalu?

Paling penting, apa jaminan Bersatu untuk tidak pula mengkhianati Pas apa lagi Umno nanti pada PRU15 lantaran berebutkan segmen sasaran pengundi yang sama iaitu Melayu Muslim?

Dalam konteks pembahagian kerusi pun ketiga-tiga parti – Umno, Pas dan Bersatu – akan berebutkan kawasan dominasi majoriti Melayu.

Semasa PRU14 pun, PH Selangor pernah letih membuat sebarang keputusan untuk 12 kerusi DUN berikutan pertindihan tuntutan antara Bersatu dan PKR.

Itu sebab apabila Wan Saiful menegaskan tentang “usaha menjaga kesatuan politik Melayu”, pasti bukan sedikit yang senyum kambing.

Apabila sebuah parti yang pernah mengkhianati rakannya sendiri juga bercakap tentang “kesatuan ummah yang telah dibina dalam PN ini mahal harganya”, memang wajarlah disambut dengan senyum mengejek.

Gabungan besar

Dalam masa sama, PH tentulah berada di pihak rugi jika hanya berpeluk tubuh sambil mengetawakan Umno-Bersatu bergasak dengan Pas masih ke hulu ke hilir terpinga-pinga. PH dan parti pembangkang tidak harus masih tunggu dan lihat ketika populariti PN tidaklah secerah mana.

Pada masa inilah soal gabungan besar dalam kalangan parti pembangkang dengan PH sebagai tunjangnya untuk menguasai semula kerajaan diberi perhatian.

Bak kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu sebelum ini: Kita mesti meramaikan kawan yang ada integriti dan kurangkan musuh.

Rakyat yang semakin muak dengan retorik menunggang kaum dan agama oleh Umno, Bersatu dan Pas sedang menilai sejauhmana parti-parti pembangkang pula sepakat menangani pelbagai isu sosioekonomi akibat penangan pandemik.

Belum lagi bermacam-macam bukti depan mata penguatkuasaan peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 yang dilihat berat sebelah dan mengecualikan ‘kelas kayangan’.

Terbaharu, kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak Pas Pusat, Ahmad Dasuki Abdul Rani dalam majlis perkahwinan mewah selebriti Neelofa di hotel lima bintang berdekatan KLCC.

Semakin ramai rakyat mulai menyampah dengan bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang juga bekas pesakit Covid-19 itu sekali gus cerminan cemuhan terhadap kerajaan PN.

Rakyat biasa ditahan dan dikompaun serta-merta atas tuduhan ingkar SOP tetapi Menteri Agama tidak pula dikenakan sebarang tindakan biarpun beberapa kali dilihat gagal mengamalkan norma baharu.

Blok pembangkang perlu dilihat sepakat mengemukakan tawaran menangani pelbagai isu sosioekonomi rakyat akibat pandemik Covid-19.

Oleh sebab itu, hanya kini bagaimana Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga dicanang sebagai bakal Perdana Menteri akan memilih keutamaan dengan memanfaatkan peluang buat kesekian kalinya.

PH dan parti-parti pembangkang yang buat masa ini masih belum kelihatan garis penghubung sepatutnya bukan sekadar menanti apa lagi kelemahan PN yang akan pecah terburai untuk dimanipulasi.

Sebaliknya, gabungan pembangkang sebenarnya sedang berada dalam fasa genting untuk menyediakan tawaran alternatif bagi meyakini majoriti rakyat terutama pengundi atas pagar dan anak muda bahawa mereka adalah pemerintah yang lebih baik dalam menjaga kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.