Malaysia Dateline

Bersatu, Warisan jadi bebas beri gambaran tidak baik untuk PH, kata penganalisis

Kebuntuan Pakatan Harapan Plus berhubung pencalonan Perdana Menteri menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima ahli Parlimen Bersatu mengumumkan untuk menjadi blok bebas bersama Warisan di Parlimen.

Keputusan tersebut dibuat selepas Bersatu kekal mahu menamakan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri seperti yang dibincangkan dalam satu pertemuan tidak rasmi bersama AMANAH dan DAP, Jun lalu.

Namun ketika ini cadangan berkenaan tidak dipersetujui Pakatan Harapan apabila mesyuarat PH kekal dengan opsyen pertama untuk mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menerajui gabungan itu.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, kecelaruan yang berlaku ketika ini boleh memberi gambaran tidak baik kepada Pakatan Harapan sebagai sebuah organisasi yang boleh diharap untuk mentadbir negara.

“Jika dahulu hal PM ini yang menyebabkan PH hilang kerajaan, ketika jadi pembangkang pun masih bertelagah tentang siapa calon PM.

“(Maka), PH perlu sekata dalam pemilihan PM kerana rakyat menilai berlatar belakangkan kemelut Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Tun Mahathir sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian diambil Bersatu apabila menyatakan akan berada di blok bebas bersama Warisan di dalam dan di luar Parlimen.

Dalam kenyataan tersebut, Bersatu juga tidak akan bergabung dengan mana-mana gabungan sama ada Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional yang ditadbir Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun menurut Azmi, entiti bebas yang diambil Tun Mahathir dan anggota Parlimen Bersatu serta Warisan itu bersesuaian dengan ungkapan Pakatan Plus itu sendiri yang mewakili kem Mahathir serta Warisan.

“Oleh kerana kumpulan Tun tidak berparti dan Warisan bukan sebahagian PH, maka untuk permudah susunan kedudukan sidang Parlimen minggu hadapan, maka bebas lebih mudah disusun kedudukannya.

“Tetapi penggunaan ungkapan bebas juga punya maksud tersirat terutama berkait calon PM yang dipersetujui PH iaitu Anwar.

“Nampak gaya Tun masih bertegas dengan Shafie sebagai calon sementara PH memilih Anwar kerana sebab pragmatik,” ulasnya.

Terdahulu, pilihan pertama PH Plus mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri tidak berjaya mendapat sokongan diperlukan bagi membentuk kerajaan.

Pilihan kedua gabungan itu pula mengemukakan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Anwar sebagai timbalannya.

Walaubagaimanapun, PKR memutuskan untuk menolak pilihan kedua itu dan menyatakan pendirian agar Presidennya kekal dicalonkan menerajui gabungan PH Plus.

Percaturan itu akhirnya menimbulkan pula apa yang dikatakan sebagai pilihan ketiga iaitu Shafie dicadang sebagai PM dengan Anwar dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing sebagai Timbalan I dan II.

Selepas pendedahan Dr Mahathir mengenai pencalonan Shafie, satu kenyataan bersama dikeluarkan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng yang memberitahu cadangan mencalonkan Shafie, belum rasmi serta masih perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan Pusat AMANAH dan DAP dahulu, kemudian dibawa ke Mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diputuskan bersama.