Malaysia Dateline

Bersedia hadapi gelombang ketiga

ULASAN: Secara peribadi, saya sangat berharap agar pola peningkatan kes di negara kita tersasar daripada simulasi JP Morgan.

Namun dalam masa yang sama, kita perlu mengakui bahawa prediksi oleh firma kewangan tersebut juga mempunyai asas yang agak kuat.

Jika mengikut unjuran mereka, bilangan kes di Malaysia akan mencecah 6,000 orang menjelang pertengahan April nanti.

Mengambil kira kemungkinan gelombang ketiga seperti yang diperingatkan oleh KP Kesihatan semalam, kita perlu bersedia sepenuhnya untuk kemungkinan tersebut.

Melalui pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri semalam, kerajaan telah menunaikan tanggungjawab mereka untuk tempoh yang genting ini.

Pertama memastikan rakyat mempunyai cukup duit untuk memenuhi keperluan asas khususnya makanan, dan kedua memastikan cukup duit dalam pasaran untuk memastikan sistem ekonomi terus hidup.

Kerajaan telah menjalankan sebaiknya peranan mereka dalam aspek menjaga kebajikan rakyat, sekarang tanggungjawab kita untuk terus fokus bagi membantu menghentikan wabak ini dengan segera.

Dengan risiko kes akan meningkat berkali ganda seperti yang diumumkan oleh PM pada 25 Mac lepas, kita perlu berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi untuk menghadapinya.

Manfaatkan sepenuhnya perintah separa berkurung (PKP) ini untuk berada di rumah bagi memutuskan rantaian penyebaran, patuhilah nasihat dan saranan pihak berkuasa sebaiknya.

Seeloknya jangan sampai kerajaan terpaksa menguatkuasakan perintah berkurung sepenuhnya (PKPD) di kawasan kejiranan kita, kerana itu akan lebih menyakitkan, percayalah.

Barisan pertahanan hadapan sedang bertungkus lumus menangani dan membendung wabak ini, jangan ganggu dan alih perhatian mereka dengan menyebarkan pelbagai berita palsu.

Mereka sedang penat mengurus krisis ini, janganlah tambah keletihan mereka untuk mengurus kesan2 negatif daripada berita2 palsu yang kita sebarkan itu.

Janganlah begitu.. kita kan ada otak untuk berfikir, lagi pun kita ni orang bukannya khinzir.

Kita perlu bersatu untuk tempuhi krisis yang sangat parah ini, kalau ada niat nak berbalah atau sebagainya tangguhlah sekejap, lepas Covid-19 ni berakhir sambunglah semula, itupun kalau masih hidup.

Dalam tempoh getir ini, sebaiknya perbanyakkan komunikasi2 yang positif, hentikanlah mesej2 bersifat negatif kerana ia tidak membantu untuk memperelokkan keadaan.

Wabak ini sangat serius, sehingga semalam sudah hampir 0.6 juta orang dijakiti dengan jumlah kematian melebihi 26 ribu orang, pertambahan kes yang sangat banyak setiap hari.

Setiap orang perlu berperanan sepenuhnya untuk menamatkan wabak ini, kekal fokus dan betul2 serius.

Semua orang bergembira dengan pengumuman PM semalam, alhamdulillah.

Jangan sampai Makcik Kiah tersenyum senang hati, kita pula menangis dalam lokap sebab kena tangkap merayau luar rumah dan sebar berita palsu.

* Dr Mohd Yusri Ibrahim adalah Ketua Penyelidik Ilham Centre.