Malaysia Dateline

Bersedia ke arah masyarakat tanpa tunai dengan e-Tunai Rakyat

Kerajaan melakukan persediaan untuk evolusi negara ke arah masyarakat tanpa tunai dengan pelaksanaan inisiatif e-Tunai Rakyat esok, yang akan memberi galakan kepada penggunaan e-dompet dalam kalangan orang ramai.

Teknologi mudah alih dan digital telah mengubah cara pembelian pengguna di peringkat global dengan cepat, dan walaupun Malaysia mempunyai tenaga kerja muda — dan sebahagian besarnya celik teknologi — yang terdiri daripada lebih 70 peratus penduduk, pengguna di sini belum sepenuhnya menerima budaya digital.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata inisiatif kerajaan untuk mengagihkan e-kredit sebanyak RM30 untuk sekali bayaran sahaja kepada pengguna e-dompet Malaysia yang layak merupakan antara usahanya untuk menggalakkan penggunaan pembayaran digital.

Beliau berkata program e-Tunai Rakyat sejajar dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) kerajaan, yang bertujuan mengurangkan halangan untuk mengakses teknologi digital dan menjadikan proses pendigitalan inklusif kepada semua.

Rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak untuk menerima wang e-tunai itu melalui mana-mana e-dompet yang mengambil bahagian.

Bagi memastikan inisiatif ini akan mempercepatkan proses pendigitalan Malaysia, RM30 itu mesti dibelanjakan antara 15 Jan dan 14 Mac, 2020, dan baki yang tidak dibelanjakan akan luput selepas tempoh tersebut.

Lim berkata jika peruntukan sebanyak RM450 juta untuk inisiatif itu telah dituntut sepenuhnya dan berjaya meningkatkan perbelanjaan, Kementerian Kewangan (MOF) akan mempertimbangkan untuk meningkatkan jumlah tersebut untuk melibatkan lebih ramai pengguna, peniaga dan penyedia e-dompet.

Peruntukan sebanyak RM450 juta itu merupakan sebahagian daripada RM50.3 bilion yang diperuntukkan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan, yang termasuk peralihan kepada ekonomi digital.

Daripada RM50.3 bilion itu, sebanyak RM28.7 bilion diperuntukkan untuk pelbagai insentif pendigitalan seperti e-Tunai Rakyat serta jaminan dan bantuan pembiayaan, termasuk untuk usahawan, perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat Malaysia.

Menurut Jabatan Perangkaan, ekonomi digital dijangka menyumbang lebih 21 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 berbanding 18.5 peratus pada 2018.

Ahli Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, berkata apabila pengguna mula beralih kepada perbankan digital melalui wang digital, menjalankan perniagaan akan menjadi lebih cekap dan berkesan.

“Apabila pengguna sudah biasa menggunakan mata wang digital, mereka akan lebih bersedia untuk melakukan urusan perniagaan. Oleh itu, urusan perniagaan boleh menjadi lebih besar dan memberi impak positif kepada ekonomi dan jumlah perniagaan.

“Kualiti hidup rakyat juga akan bertambah baik apabila lebih ramai orang menjalankan urus niaga dalam talian, yang menjimatkan masa. Ini bermakna pengguna tidak perlu pergi ke bank untuk urusan perniagaan formal,” katanya.

Inisiatif e-Tunai Rakyat bertujuan mempercepatkan penggunaan e-dompet dan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan peniaga Malaysia, terutamanya perusahaan kecil dan perniagaan runcit.

MoF telah melantik dana kekayaan berdaulat Malaysia, Khazanah Nasional Bhd, untuk memudahkan dan menyelaras pelaksanaan dan pelancaran inisiatif e-Tunai Rakyat.

Khazanah memilih Touch ‘n Go eWallet, Boost dan GrabPay untuk mengambil bahagian sebagai penyedia perkhidmatan berdasarkan jumlah pengguna aktif mereka yang besar dan rangkaian peniaga yang luas, kepakaran teknikal serta kekuatan kewangan dan tenaga kerja, antara lainnya untuk membina sistem, proses dan prosedur yang diperlukan.

Pengguna boleh menggunakan e-kredit untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang boleh didapati melalui e-dompet pilihan mereka sepanjang tempoh program tersebut.

Ini termasuk makanan dan minuman, barangan runcit dan membeli-belah dalam talian, kesihatan dan kecantikan, minyak, telekomunikasi, pembayaran bil, tempat letak kereta, dan tawaran dalam aplikasi yang lain seperti penghantaran makanan, permainan mudah alih, selain tambah nilai mudah alih, pembelian dalam aplikasi seperti tempat letak kereta dan bayaran tol melalui ciri-ciri unik seperti PayDirect dan RFID (pengenalan frekuensi radio).

Dalam kenyataan hari ini, MoF mencadangkan dan amat menggalakkan peniaga, penjaja dan peruncit Malaysia untuk berdaftar dengan satu atau semua penyedia e-dompet itu untuk mendapat manfaat daripada e-Tunai Rakyat.

Usaha bersepadu penting untuk menerapkan gaya hidup digital bagi kehidupan yang lebih baik.

Program pendigitalan sedemikian akan memberi manfaat kepada kehidupan rakyat, menjadikan Malaysia lebih makmur dari segi kekayaan dan membolehkan rakyat Malaysia menjimatkan masa dan memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting.

Rakyat Malaysia perlu bersatu untuk menjadikan WKB2030 sebagai realiti, dan berani menghadapi transformasi dalam teknologi bersama dengan semangat nasional yang terdapat dalam diri.

Menjadi pengguna awal teknologi akan menempatkan Malaysia sebagai negara contoh yang menggalakkan keterangkuman dan dapat menyepadukan gaya hidup digital dalam kalangan rakyat Malaysia untuk kehidupan yang lebih baik.