Malaysia Dateline

Bersedia salur elaun dengan syarat utama buka Parlimen sekarang

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bersedia untuk menyalurkan elaun ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19 dengan syarat sidang Parlimen disambung kembali.

Wakil rakyat PKR itu berkata, proses semak imbang yang telah tempang sejak Parlimen ‘dibekukan’ enam bulan lalu perlu dihidupkan semula, terutama ketika krisis pandemik Covid-19 yang berlarutan ini.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya bersedia melakukan perkara ini (salurkan elaun) dengan syarat utama Parlimen dibuka sekarang,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR itu berkata, pelbagai soalan yang bermain di fikiran rakyat akan dapat dijawab dengan segera dan jelas sekiranya Parlimen tidak lagi digantung.

“Contohnya, berapa sebenarnya yang telah dibelanja untuk membangunkan laman web pendaftaran AstraZeneca (AZ), dan mengapa laman web tersebut gagal pada saat paling kritikal baru-baru ini?” soalnya merujuk masalah permohonan tarikh temu janji suntikan vaksin itu bulan lalu.

Mengulas lanjut berkenaan persetujuan barisan jemaah menteri untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai bulan ini, Fahmi berkata Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri masing-masing mempunyai peruntukan khas.

“Pengumuman tersebut tidak bermakna elaun Ahli Parlimen dan peruntukan-peruntukan khas Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri juga disalurkan ke dalam akaun tersebut. Ini satu perkara yang perlu dijelaskan Perdana Menteri,” ujarnya.

Dalam masa sama, Fahmi menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan satu Ordinan Darurat bagi memperuntuk semula peruntukan khas Perdana Menteri berjumlah RM1 bilion dari Belanjawan 2021 agar dapat digunakan segera untuk menangani Covid-19.

Jelasnya, peruntukan tersebut di bawah tajuk ‘Projek Khas’ (Maksud Pembangunan 6, Butiran 93500, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021) untuk disalurkan secara terus ke dalam Akaun Amanah Bencana ini. Jumlah RM1 bilion ini jauh lebih besar berbanding elaun 3 bulan bagi 220 orang Ahli Parlimen (dianggarkan dalam RM16.5 juta).